Ayah-ayah dan lawak spontan mereka sememangnya tidak pernah lekang daripada mencuit hati, malah ada sahaja idea kreatif yang digunakan untuk mengusik anak-anak ketika berbual.
Tidak kiralah ketika berdepan atau melalui aplikasi WhatsApp, golongan bapa ini kadangkala mempunyai cara tersendiri untuk menjawab pertanyaan sehingga membuatkan anak-anak tidak tahu sama ada mahu ketawa atau menggeleng kepala.
Menariknya jawapan yang diberikan selalunya bersahaja, tetapi cukup untuk membuatkan sesiapa yang membacanya turut terhibur.
Terbaharu, satu perkongsian di Threads mengundang perhatian pengguna media sosial apabila seorang anak berkongsi perbualan WhatsApp bersama bapanya yang mempunyai jawapan di luar jangkaan.
Menerusi hantaran pengguna Threads @suhadaamira_, dia memuat naik tangkap layar perbualan bersama bapanya sambil berseloroh dengan kapsyen, “bapak bapak memang camni ke”.
“Mesin Cetak Duit Rosak, Dakwat Pula Habis”

Dalam perbualan tersebut, pengguna berkenaan dilihat bertanyakan kepada bapanya mengenai urusan mengambil duit di rumah Sungai Rabit.
Bagaimanapun, jawapan yang diterima daripada bapanya ternyata mengundang tawa apabila lelaki itu memberikan alasan kononnya mesin cetak duit mengalami kerosakan.
“Mesin cetak duit rosak,” balas bapanya.
Tidak cukup dengan itu, bapanya kemudian menambah bahawa dakwat mesin tersebut sudah habis sebelum meminta anaknya menunggu sehingga dakwat berkenaan kering.
“Ink abih.”
“Nak elok tunggu kering dulu,” tulisnya lagi.
Lebih mencuit hati, perbualan mereka diteruskan apabila si bapa bertanyakan pukul berapa anaknya mahu mengambil duit berkenaan.
Apabila anaknya menjawab pukul 1, bapanya sekali lagi memberikan jawapan bersahaja dengan menyebut:
“Pukul 1 kat masjid.”
“Duit tabung masjid adalah.”
Jawapan tersebut dipercayai sekadar gurauan si bapa yang sengaja mengusik anaknya selepas ditanya mengenai duit berkenaan.
Anak Minta Duit Beli Buku, Bapa Pula Tuduh Scammer
Tidak hanya itu, ruangan komen hantaran tersebut turut dibanjiri pengalaman pengguna lain yang mempunyai kisah hampir sama dengan bapa masing-masing.
Malah, seorang pengguna Threads turut berkongsi pengalaman rakannya yang pernah menghantar mesej kepada bapanya untuk meminta wang bagi membeli buku.
Namun, jawapan yang diterima ternyata lebih melucukan apabila si bapa seolah-olah tidak mengenali anaknya sendiri.
“Engko sapaa? Anak-anak pakcik semua dah jadi CEO Megah Holding. Bagi duit kat pakcik adalah, mana ada mintak duit. Ko sapaa ni? Scammer ye,” tulisnya.
Kisah tersebut turut mengundang gelak tawa apabila pengguna berkenaan mengakui tidak dapat menahan ketawa membaca jawapan spontan si bapa.
Situasi itu menunjukkan bahawa setiap bapa mempunyai cara tersendiri untuk mengusik anak-anak, termasuk menggunakan alasan yang tidak masuk akal semata-mata untuk bergurau.
Walaupun kadangkala jawapan mereka boleh membuatkan anak-anak pening kepala, gurauan spontan seperti inilah yang menjadikan hubungan kekeluargaan lebih meriah dan mencipta kenangan lucu untuk dikenang.

