Pesawat Terhempas Di Nepal: Juruterbang Menjadi Punca – Laporan
Tragedi sebuah pesawat enjin berkembar ATR 72-500 yang dikendalikan Yeti Airlines yang terhempas pada 15 Januari lalu disifatkan berpunca daripada kesilapan oleh juruterbang sendiri, memetik Independent.
Imbas kembali kejadian, pesawat itu terhempas di dalam sebuah gaung ketika ia menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pokhara di kaki banjaran Himalaya.
Tapak kejadian nahas itu berlaku kira-kira 1.6 kilometer daripada landasan dan pada ketika itu, pesawat berada pada ketinggian kira-kira 820 meter.
Tragedi itu telah meragut nyawa 72 nyawa termasuklah dua bayi, empat kru penerbangan dan 15 warga asing. Ia merupakan nahas pesawat terburuk di negara itu dalam tempoh tiga dekad.
Berdasarkan laporan siasatan, juruterbang pesawat itu telah melakukan kesilapan dengan mematikan tenaga kuasa yang menjadi punca pesawat itu terhempas.
Laporan yang dikeluarkan oleh panel penyiasat yang dilantik oleh kerajaan telah menemui bahawa kesilapan yang dilakukan oleh mereka itu telah membawa kepada aerodynamic stall.
Menurut Dipak Prasad Bastola yang merupakan seorang jurutera aeronautik dan juga salah seorang daripada ahli panel penyiasatan, disebabkan kurang kesedaran dan kekurangan pada prosedur operasi standard, juruterbang pesawat itu telah meletakkan condition lever yang mengawal tenaga kuasa ke feathering position dan tidak memilih flap lever.
Hal itu telah mengakibatkan enjin pesawat berada dalam keadaan idle dan tidak menghasilkan tujahan.
“Tetapi, disebabkan momentum pesawat itu, ia telah terbang selama 49 saat sebelum ia terhempas,” kata Dipak Prasad Bastola.
Menurut laporan itu juga, “Faktor manusia seperti beban kerja yang tinggi dan tekanan telah mengakibatkan kesilapan dalam pengecaman dan pemilihan propellers,”
Selain itu, laporan itu menyatakan pesawat itu sentiasa diselenggara dan tiada kerosakan yang diketahui. Krew cockpit pula merupakan krew yang layak menurut peraturan pihak berkuasa penerbangan Nepal.
Kotak Hitam Pesawat
Menurut pihak berkuasa penerbangan awam Nepal, kotak hitam pesawat yang ditemui telah dihantar ke Singapura bagi melakukan analisis untuk mengenal pasti punca nahas itu.
Lebih satu dozen penyiasat dari Amerika Syarikat, Kanada dan Perancis kemudiannya menyertai penyiasatan itu.
Nahas pesawat itu merupakan nahas udara terteruk bagi Nepal sejak 1992, apabila sebuah pesawat Airbus A300 Pakistan International Airlines terhempas di di lereng bukit ketika ia menghampiri Kathmandu dan nahas itu telah meragut nyawa 167 orang di dalamnya.
Hampir 350 kematian berlaku sejak tahun 2000 yang berlaku akibat pesawat atau helikopter terhempas di Nepal.
Nepal merupakan sebuah negara dimana terletaknya lapan daripada 14 gunung tertinggi di dunia termasuklah Gunung Everest di mana perubahan cuaca secara mengejut akan mengakibatkan keadaan perjalanan yang berbahaya.
Sumber: Independent