Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Kenang Jasa, Ronaldo Hadiahkan Porsche Sempena Hari Lahir Ibu
Bintang Portugal, Cristiano Ronaldo menghadiahkan ibunya, Dolores Aveiro, 70, sebuah kereta Porsche baharu bersempena sambutan hari lahirnya yang ke-69 pada malam Tahun Baru, lapor Daily Mail UK.
Difahamkan, pemain bola berusia 39 tahun itu menyambut majlis itu bersama ahli keluarga di kampung halamannya di Madeira, Portugal.
Dalam satu video yang dimuat naik di media sosial, ibunya diiringi oleh anak lelaki Ronaldo, Cristiano Ronaldo Jr menuju ke Porsche Cayenne.

Jelas terpampang di raut wajah Aveiro yang tidak dapat menahan sebak selepas menyedari kereta itu adalah pemberian hadiah hari lahir daripada anaknya.
Aveiro juga sempat memeluk erat cucunya sewaktu mendekati kereta berwarna hitam siap berbalut reben merah sebelum masuk ke dalamnya.
Momen penuh gembira itu dikongsikan oleh Ronaldo termasuk ahli keluarganya di dalam garaj berkenaan.
Sementara itu, kakak Ronaldo, Katia dalam satu hantaran di Instagram memuji pemberian Ronaldo kepada ibunya.
“Jika dia gembira, ia disebabkan anaknya mengingatinya dan bukannya kerana nilai hadiah tersebut. Hormatilah ayah dan ibumu, pasti umurmu akan panjang di dunia ini,” tulisnya.

Insan bernama Dolores Aveiro terkenal kerana menjadi tulang belakang Ronaldo sejak bintang bola sepak itu kecil hinggalah memasuki karier profesional.
Aveiro menyokong keputusan Ronaldo berhenti sekolah bagi memberi tumpuan kepada bola sepak pada usia 14 tahun.
Pada Jun 2022, dia tidak dapat menahan air mata apabila Ronaldo mendedikasikan satu gol buatnya ketika menonton perlawanan Portugal membenam Switzerland 4-0.
Untuk makluman, Ronaldo muncul sebagai penjaring terbanyak dunia 2023 selepas menjaringkan 54 gol untuk kelab dan negara.
Sebelum ini, Ronaldo telah menyertai sebuah kelab dari Liga Pro Arab Saudi, Al Nassr dengan nilai €200 juta (RM931 juta) hingga Jun 2025.
Sumber: Daily Mail UK