KPM Cari Jalan Penyelesaian Isu Murid Tiada Dokumen Kewarganegaraan
PUTRAJAYA — Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil perhatian isu murid tanpa dokumen kewarganegaraan yang menghadapi masalah untuk meneruskan persekolahan.
KPM dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan satu sesi pertemuan bersama-sama dengan keluarga murid terlibat telah diadakan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) pada Khamis lalu (28 Disember 2023).
Pertemuan berkenaan bertujuan untuk mencari jalan penyelesaian bagi membolehkan murid terlibat meneruskan persekolahan seperti biasa.
BACA: Legenda United, Wayne Rooney Dipecat
“Beberapa cadangan penyelesaian telah dikemukakan berkaitan dengan keperluan dokumentasi kewarganegaraan murid terbabit.
“Manakala pihak JPNS pula komited untuk membantu dari aspek pengurusan pendaftaran murid di sekolah. Pertemuan telah berlangsung dalam suasana harmoni dan mencapai hasil yang positif,” maklum KPM.
Menurut KPM, pihaknya sentiasa berusaha meningkatkan akses pendidikan berkualiti untuk semua murid warganegara.
“Agenda pendidikan manusiawi memastikan tiada murid yang tercicir,” kata KPM lagi.
Sebelum ini, seorang kanak-kanak berusia 10 tahun dipercayai tidak dapat meneruskan sesi persekolahan darjah empat pada Mac ini. Ia berlaku kerana isu dokumentasi kewarganegaraan susulan ibu bapanya tidak mendaftar perkahwinan yang kemudian bercerai pada 2023, lapor Bernama.