Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

JPN Sahkan Lelaki Asal Bangladesh Dapat Kewarganegaraan Malaysia Secara Sah Pada 2025

BANGLADESH
Kredit: Facebook JPN

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengesahkan status kewarganegaraan seorang lelaki berasal dari Bangladesh yang tular di media sosial diperoleh secara sah pada 2025 mengikut peruntukan undang undang dan prosedur ditetapkan.

JPN dalam satu kenyataan memaklumkan, lelaki berkenaan memperoleh kewarganegaraan Malaysia menerusi proses naturalisasi di bawah Perkara 19(1) Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, individu itu juga merupakan suami kepada seorang wanita warganegara Malaysia dan telah memegang status Penduduk Tetap sejak 2009.

Penjelasan itu dibuat susulan dakwaan yang tersebar di media sosial berhubung kesahihan MyKad serta status kewarganegaraan dua individu yang menjadi perhatian orang ramai.

Bagi kes kedua yang membabitkan seorang wanita yang didakwa berasal dari Pakistan, JPN memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan susulan aduan yang diterima.

“Penelitian sedang dilaksanakan berdasarkan rekod rasmi dan fakta berkaitan. Perkembangan lanjut berhubung kes ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, JPN memahami kebimbangan masyarakat berhubung isu berkenaan dan menggalakkan orang ramai menyalurkan sebarang pertanyaan atau aduan berkaitan status kewarganegaraan menerusi saluran rasmi jabatan.

Orang ramai turut diingatkan supaya tidak mendedahkan maklumat peribadi individu secara terbuka di media sosial ketika membangkitkan keraguan, bagi memastikan semakan dapat dilakukan melalui saluran yang sewajarnya.

JPN menegaskan komitmennya untuk memastikan semua urusan pendaftaran, pengeluaran dokumen pengenalan diri dan penentuan status kewarganegaraan dilaksanakan dengan teliti, berintegriti serta mematuhi undang undang yang berkuat kuasa.