Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

KUALA LUMPUR, 12 JANUARI 2024 — Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) semalam, menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) sebagai inisiatif bersama dalam membudayakan, membangunkan, dan mempromosikan Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) di kalangan rakyat Malaysia amnya dan para peniaga khasnya.
MoU tersebut ditandatangani oleh Datuk Nor Azimah Abdul Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif SSM dan Dr. Sharmila Mohamed Salleh, Ketua Pegawai Eksekutif YIM, dengan disaksikan oleh Tuan Ahmad Sabki Yusof, Pengerusi SSM dan YBhg. Datin Paduka Setia Dato’ Dr. Aini Ideris, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YIM.
Menerusi perjanjian itu, kedua-dua pihak menyasarkan untuk bekerjasama bagi mempromosi dan mengalakkan pendaftaran perniagaan dari golongan inovator di dalam ekosistem YIM untuk mendaftarkan perniagaan di bawah Skim Pendaftaran Perniagaan Percuma (SPPP) atau Skim 1 OKU 1 Perniagaan (S1O1P) yang ditawarkan secara percuma bagi mereka yang memenuhi syarat.

Dalam ucapannya, Nor Azimah berkata, SPPP telah diperkenalkan oleh SSM pada 23 Disember 2020 untuk memberi peluang kepada usahawan kumpulan B40 serta pelajar sepenuh masa di IPTA/IPTS di dalam negara untuk mendaftarkan perniagaan mereka dengan SSM secara percuma.
Tambahnya, S1O1P pula merupakan satu inisiatif bagi golongan orang kurang upaya (OKU) mendaftarkan perniagaan dengan SSM dengan pengecualian fi pendaftaran dan pembaharuan. Sehingga 31 Disember 2023, sebanyak 17,542 perniagaan telah didaftarkan di bawah inisiatif ini.

“Dengan termeterainya MoU ini, saya percaya pihak YIM bersama-sama SSM akan melaksanakan program-program yang telah dikenal pasti bagi memberikan peluang kepada lebih banyak inovator di seluruh negara untuk mendaftarkan perniagaan, sekaligus meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pendaftaran perniagaan dalam usaha membangunkan ekonomi negara,” kata beliau.
Sementara itu, Dr. Sharmila Mohamed Salleh berkata, pemeteraian MoU pada hari ini selari dengan komitmen YIM untuk membangun dan menggalakkan kemahiran kreatif dalam bidang sains, teknologi dan inovasi merangkumi kluster akademik, industri dan masyarakat, dengan memanfaatkan sumber manusia yang cekap serta produktif dalam pelbagai kemahiran untuk mengatasi cabaran yang dihadapi oleh komuniti setempat melalui program latihan dan pembangunan.

“YIM dan SSM akan bekerjasama dalam mempromosikan inovasi, keusahawanan, dan pembangunan ekonomi, khususnya melalui skim yang berkaitan dengan pendaftaran perniagaan dan sokongan untuk inovator yang berkelayakan,” kata beliau.
Dengan itu, MoU ini bukan sahaja satu perjanjian bertulis, tetapi merupakan janji dan komitmen YIM dan SSM untuk menjadikan Malaysia sebagai hab inovasi yang dinamik dan progresif.