Siakap Keli
messi pemain terbaik fifa
Gambar: LUIS ROBAYO/AFP

Messi Dinobat Pemain Lelaki Terbaik FIFA 2023

Messi Dinobat Pemain Lelaki Terbaik FIFA 2023

Lionel Messi telah dinobatkan sebagai pemain lelaki terbaik FIFA bagi tahun 2023 manakala, Aitana Bonmati juga mendapat anugerah yang sama bagi kategori wanita dalam satu majlis anugerah yang berlangsung di London.

Memetik AFP, ini menandakan kali ketiga Messi mendapat anugerah itu dan kali ini timbul sedikit kontroversi kerana dia mengatasi Erling Haaland dari Manchester City.

Anugerah kali ini hanya meliputi tempoh selepas Messi membawa Argentina menjulang Piala Dunia dari Disember 2022 hingga Ogos 2023.

Sepanjang tempoh itu, pemenang lapan kali Ballon d’Or berkenaan menamatkan kerjayanya di Paris Saint-Germain dengan prestasi yang kurang memberangsangkan,  walaupun berjaya menjuarai Ligue 1 sebelum menyertai kelab Major League Soccer, Inter Miami pada bulan Jun.

Gambar: LUIS ROBAYO/AFP

Bagaimanapun, Messi tidak mengambil masa yang lama untuk menempa gol dan membawa kejayaan di kelab itu. Dia membantu kelab yang sebahagiannya dimiliki oleh David Beckham itu dengan merangkul trofi pertama mereka dengan memenangi Piala Liga pada bulan Ogos.

Sementara itu, Haaland menjadi pilihan untuk menang anugerah itu selepas menjaringkan 52 gol pada musim sulungnya bersama City ketika pasukan Inggeris tersebut memenangi treble Liga Juara-Juara, Liga Perdana dan Piala FA.

Selepas menerima jumlah mata yang sama daripada sistem pemarkahan berdasarkan undian daripada kapten-kapten pasukan kebangsaan, jurulatih, wartawan serta peminat, Messi dinobatkan sebagai pemenang.

Kylian Mbappe yang merupakan bekas rakan sepasukan Messi di PSG berada di tempat ketiga.

Namun, ketiga-tiga finalis lelaki itu tidak menghadiri majlis terbabit. Legenda Arsenal dan Perancis, Thierry Henry, yang menjadi hos acara tersebut mengambil anugerah itu semasa ketiadaan Messi.

Manakala, pemilihan Bonmati sebagai pemain wanita terbaik tidak pernah diragui apabila dia menyapu bersih anugerah individu selepas membantu Sepanyol memenangi Piala Dunia dan Barcelona menjulang kejuaraan Liga Juara-Juara 2023.

Gambar: AFP

Pemain berusia 25 tahun itu juga memenangi Ballon d’Or, Bola Emas untuk Piala Dunia dan pemain terbaik UEFA beberapa bulan lalu.

“Beberapa minggu lalu apabila 2023 berakhir, saya berasa nostalgia kerana 2023 adalah tahun yang unik dan luar biasa yang saya akan ingat sepanjang hayat saya.

BACA: FIFA Pun Terpana, Senaraikan Gol Safawi Rasid Antara Calon Anugerah Puskas

“Saya berbangga menjadi sebahagian daripada generasi wanita yang berkuasa yang mengubah peraturan permainan dan dunia,” kata Bonmati.

Dalam pada itu, Pep Guardiola dinamakan jurulatih terbaik selepas mengetuai kejayaan Liga Juara-Juara pertama City. Menurut Guardiola, kejayaan ini disebabkan kemenangan besar dan beribu-ribu orang yang terlibat.

Saya sangat gembira untuk musim yang kami lalui kerana ia adalah satu perjalanan yang luar biasa. Akhirnya kami dapat melakukannya, tetapi keseronokan berada di sana adalah luar biasa,” tambahnya lagi. 

Haaland pula disertai lima rakan sepasukan City iaitu Kyle Walker, John Stones, Ruben Dias, Bernardo Silva dan Kevin De Bruyne untuk pasukan pilihan terbaik.

Pemain Real Madrid, Thibaut Courtois, Jude Bellingham dan Vinicius Junior, Messi dan Mbappe melengkapkan kesebelasan utama.

Ederson dari Manchester City memenangi anugerah penjaga gol terbaik, manakala Mary Earps yang mewakili England dan Manchester United memenangi kategori wanita.

BACA JUGA: Messi, Mbappe Dan Haaland Bersaing Untuk Anugerah Pemain Lelaki Terbaik FIFA 2023

Seterusnya, pengendali skuad wanita kebangsaan England, Sarina Wiegman dinobatkan jurulatih wanita terbaik selepas membawa The Lionesses ke final Piala Dunia.

Tujuh daripada wanita England telah dimasukkan dalam pasukan tahun ini. Antaranya, Earps, Lucy Bronze, Alex Greenwood, Keira Walsh, Alessia Russo, Lauren James dan Ella Toone.

Pasukan lelaki Brazil pula memenangi anugerah fair play selepas memakai jersi serba hitam buat pertama kali sebagai sokongan kepada Vinicius, yang sering menjadi mangsa perkauman ketika bermain untuk Madrid tahun lalu.

Selain itu, pemain Brazil, Guilherme Madruga turut melakar kejayaan dalam anugerah Puskas untuk gol terbaik menerusi sepakan overhead yang menakjubkan.

Sumber: AFP

Athirah

When nothing goes right, go left.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.