Walaupun Situasi Sukar, Pelajar Gaza Sempat Siapkan Tesis Master
Situasi sukar di wilayah bergolak menyebabkan seseorang individu terpaksa meninggalkan banyak perkara dalam kehidupannya demi meneruskan kelangsungan hidup.
Namun, seorang pelajar Gaza dilaporkan berjaya menyiapkan tesis untuk pengajian pada peringkat Ijazah Sarjana dan menunggu tarikh viva.
Kisah pelajar Gaza itu dikongsikan oleh seorang pensyarah di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof. Madya Chm. Ts, Dr. Abdul Hafidz Yusoff baru-baru ini.
Dalam hantaran tersebut, beliau telah diminta untuk menjadi pengerusi bagi peperiksaan lisan (viva voce) untuk calon Sarjana Sains di UMK.
Berdasarkan hantarannya tersebut, tarikh asal bagi sesi viva tersebut dijadual akan diadakan pada 25 Januari 2024.
Namun, apabila tarikh berkenaan semakin hampir, beliau telah menerima satu emel daripada pihak universiti yang memaklumkan sesi tersebut ditangguhkan.
Hal ini kerana, salah seorang pelajar Sarjana Sains difahamkan berada di Gaza ketika ini.
Beliau dimaklumkan bawaha pelajar tersebut meminta sesi viva berkenaan ditangguhkan sehingga keadaan di sana menjadi sedikit reda.
Kehebatan pelajar Gaza siapkan tesis ketika situasi sulit di Gaza cetus rasa kagum
Sungguhpun berdepan dengan situasi yang sukar, Dr. Hafidz menyifatkan bahawa pelajar ini sangat hebat kerana masih mampu menyiapkan tesisnya.
“Hebat student Gaza ini. Dalam perang berjaya selesaikan tesis Master dan menunggu untuk Viva.
“Tapi bila hampir tarikh viva, keadaan beliau masih tidak selamat dan meminta tangguh sampai keadaan selamat.
“Harap sempatlah dia viva dan membangunkan semula Gaza dengan ilmu beliau. Beliau mendaftar pengajian Master di Fakulti Biokejuruteraan dan Teknologi UMK,” katanya.
Menurut Dr. Hafidz, pelajar tersebut juga merupakan seorang pengajar di sebuah kolej di Gaza.
Malangnya, institusi pendidikan tersebut musnah menjadi ‘mangsa’ konflik yang sedang melanda Gaza ketika ini.
“Tak tahulah mana dia nak mengajar lepas ni tapi semangat dia nak habiskan Master tu patut dicontohi.
“Dia belajar bukan kerana kerja tapi ilmu yang dia nak guna untuk bangunkan semula Gaza,” ujar Dr. Hafiz dengan rasa kagum.
https://www.facebook.com/aburedha/posts/pfbid04p7HfxjvF7TmQFXdDbQHdKXNW7WLenRTQuNLLyALvV23ndx18YwS4afjEVfCZZhLl
BACA: Tak Ada Selekoh Langsung, Kenali Lebuh Raya Terlurus Di Dunia Sepanjang 255km
Sumber: Hafidz Yusoff via Facebook