Siakap Keli
monyet rhesus berjaya diklon
Gambar: Nature Communications/AFP

Monyet Rhesus Berjaya Diklon Oleh Saintis Di China

Monyet Rhesus Berjaya Diklon Oleh Saintis Di China

Para saintis di China mengumumkan bahawa mereka telah berjaya hasilkan monyet rhesus klon pertama yang kini berusia dua tahun dan berada dalam keadaan sihat, lapor AFP.

Dinamakan sebagai Retro, saintis menghasilkan monyet itu  dengan mengubah proses yang mencipta biri-biri Dolly sebelum ini.

Memetik AFP, bertahun-tahun saintis telah gagal mengklon primat (kumpulan mamalia) kerana  terbukti ia sangat sukar untuk dilakukan. Namun, mereka akhirnya berjaya menerusi kaedah menggantikan sel klon yang menjadi plasenta dengan sel embrio normal.

Susulan itu juga, mereka berharap teknik baharu itu akan membawa kepada penciptaan monyet rhesus yang serupa untuk tujuan penyelidikan perubatan.

Walau bagaimanapun, penyelidik luar memberi amaran bahawa kadar kejayaan untuk kaedah baharu itu masih sangat rendah. Malah, persoalan etika mengenai pengklonan akan timbul.

Sejak pengklonan bersejarah biri-biri Dolly menggunakan teknik yang dipanggil pemindahan nuklear sel somatik (SCNT) pada tahun 1996, lebih daripada 20 haiwan berbeza telah dicipta menggunakan proses itu. Antaranya, haiwan seperti anjing, kucing, khinzir dan lembu.

Namun, selepas dua dekad kemudian, barulah saintis berjaya mengklon primat pertama menggunakan SCNT.

monyet rhesus berjaya diklon
Gambar: Nature Communications/AFP

Dalam pada itu, sepasang kera pemakan ketam yang serupa bernama Hua Hua dan Zhong Zhong berjaya dicipta menggunakan SCNT pada 2018. Ia diciptakan oleh penyelidik di Institut Neurosains Akademi Sains China di Shanghai.

Pengarang Kanan penyelidikan itu, Qiang Sun berkata bahawa pasukannya telah meneliti secara terperinci mengenai penyebab kegagalan mengklon monyet rhesus sebelum ini.

Menurutnya, dalam percubaan awal, seekor monyet daripada 35 janin yang diimplan dilahirkan dalam keadaan hidup, tetapi ia mati dalam masa kurang dari sehari.

Salah satu masalah utama ialah plasenta embrio yang diklon menunjukkan kelainan berbanding plasenta daripada persenyawaan in vitro.

BACA: Profesor Hantar DNA Ke Bulan Nak Alien Klon Dirinya

Untuk mengatasi masalah itu, para penyelidik menggunakan kaedah menggantikan sel-sel yang kemudiannya menjadi plasenta, yang dipanggil sebagai trofoblas. Ia termasuk sel-sel daripada embrio yang sihat dan tidak diklon.

Seterusnya, sel trofoblas membekalkan nutrien kepada embrio yang sedang membesar. Ia akan bertukar menjadi plasenta yang membekalkan oksigen dan bantuan sokongan hidup yang lain kepada janin.

Menurut Qiang, teknik itu meningkatkan kadar kejayaan pengklonan oleh SCNT serta membawa kepada kelahiran Retro.

Bagaimanapun, saintis di Pusat Bioteknologi Kebangsaan Sepanyol yang tidak terlibat dalam penyelidikan itu menegaskan hanya satu daripada 113 embrio awal yang terselamat. Hal ini bermakna kadar kejayaan kurang daripada satu peratus.

Sumber: AFP via Yahoo News

Athirah

When nothing goes right, go left.