Penumpang Gigit Kru, Pesawat Terpaksa Patah Balik
Seorang penumpang warga Amerika Syarikat (US) didakwa telah menggigit seorang kru penerbangan wanita dalam kejadian sebuah pesawat di Jepun pada Selasa.
Menurut jurucakap syarikat penerbangan All Nippon Airways (ANA), kejadian itu telah memaksa pesawat yang menuju ke Seattle tersebut untuk berpatah balik ke Tokyo.
Malah laman web pengesan penerbangan Flightradar24 pula mengesahkan pesawat ANA 118 terbabit sudah berlepas dari Lapangan Terbang Haneda, Tokyo pada jam 9:47 malam.
Namun ia terpaksa berpatah balik ke lapangan hanya sejam selepas ia berlepas gara-gara insiden pelik itu.
Seorang jurucakap ANA berkata kepada CNN, bahawa seorang penumpang lelaki yang tidak dinamakan telah ditahan oleh polis selepas pesawat itu mendarat di Tokyo.
Manakala kru penerbangan yang digigit itu pula mengalami kecederaan yang ringan.
Bagaimanapun Jabatan Polis Metropolitan Tokyo tidak mahu memberikan butiran lanjut mengenai kes yang telah berlaku itu.
Difahamkan kes itu bukanlah kejadian pertama yang berkaitan dengan menggigit kru penerbangan.
Pada tahun 2022, dua penumpang dikenakan denda yang setimpal kerana bertindak menggigit dan memukul kru penerbangan serta penumpang yang lain.
Kejadian itu berlaku dalam dua masa dan pesawat yang berbeza. Satu kejadian berlaku di dalam pesawat American Airlines dan satu lagi berlaku dalam pesawat Delta Air Lines.
Masing-masing didenda sebanyak 81,950 dolar (RM384,900.82) dan 77,272 dolar (RM364,530.66).
Ia merupakan denda tertinggi yang pernah dikenakan oleh Pentadbiran Penerbangan Persekutuan terhadap penumpang individu kerana berkelakuan kasar di atas pesawat.
Terdapat juga beberapa insiden yang dilaporkan berlaku kerana tingkah laku buruk dan keganasan daripada penumpang.
Ini termasuklah kejadian di pesawat American Airlines yang dibawa ke Lapangan Terbang Texas pada 3 Januari selepas seorang penumpang didakwa menumbuk seorang pramugari dan menyerang seorang pegawai polis.
Sumber: CNN