Siakap Keli
thailand bonus piala asia
Gambar: FA Thailand

Pemain Thai Dapat Bonus RM132k Bagi Setiap Mata Diraih Di Piala Asia

Pemain Thai Dapat Bonus RM132k Bagi Setiap Mata Diraih Di Piala Asia

Skuad Thailand akan menikmati bonus sebanyak 1 juta Baht (RM132,449) bagi setiap mata yang diperoleh sepanjang saingan Piala Asia yang berlangsung di Qatar ketika ini.

Menurut laporan CNN Indonesia, pemberian bonus berkenaan dijanjikan sendiri oleh pengurus pasukan kebangsaan itu, Nualphan Lamsam atau Madam Phang.

Dengan kemenangan 2-0 ke atas Kyrgyzstan, Thailand berjaya mengumpul tiga mata penuh dalam perlawanan pembukaan Kumpulan F.

Ini bermakna, skuad Gajah Perang itu sudah pun mengumpul bonus sebanyak RM397,347 setakat ini.

Jika bonus tersebut dibahagikan sama rata kepada 26 orang pemain yang dibawa ke Qatar, setiap pemain menikmati bonus sebanyak RM15,282 seorang.

Pemain Thai di Piala Asia dapat bonus lumayan

Menurut laporan media, janji yang dibuat oleh Madam Phang itu diyakini akan memacu semangat para pemain untuk menampilkan persembahan terbaik.

Thailand sebelum ini muncul wakil tunggal Asia Tenggara yang berjaya memenangi perlawanan pembukaan peringkat kumpulan di temasya bola sepak terulung Asia itu.

Dua gol Thailand hadir menerusi penyerang berbakat besar negara itu, Supachai Chaideed.

Selepas selesai perlawanan pertama, Thailand ketika ini memimpin kedudukan Kumpulan F di atas Arab Saudi.

Biarpun berkongsi 3 mata dengan negara Teluk itu, Thailand mempunyai kelebihan satu jaringan gol.

Anak buah Masatada Ishii dijadualkan turun menentang Oman pada 21 Januari ini dalam perlawanan kedua peringkat kumpulan.

Seterusnya, mereka akan bertemu dengan Arab Saudi, antara pasukan pilihan untuk mara ke peringkat seterusnya dalam perlawanan terakhir kumpulan pada 25 Januari.

Thailand wakil tunggal Asia Tenggara menang perlawanan pembukaan

Dalam pada itu, tiga lagi wakil Asia Tenggara iaitu Vietnam, Indonesia dan Malaysia semuanya kecundang di tangan lawan masing-masing dalam perlawanan pembukaan.

Vietnam yang berada dalam Kumpulan D tewas 4-2 kepada pasukan pilihan untuk muncul juara, Jepun.

Manakala Indonesia pula tewas 1-3 kepada Iraq dan Malaysia menyaksikan gawangnya dibolosi empat kali tanpa balas ketika menentang Jordan.

Setakat ini, tuan rumah dan Australia sudah pun mengesahkan kemaraan ke peringkat 16 terbaik apabila berjaya mengumpul enam mata penuh selepas dua perlawanan.

Pusingan 16 Piala Asia dijadualkan bermula pada 28 Januari. Manakala perlawanan suku akhir pula akan berlangsung pada 2-3 Februari dan diikuti perlawanan separuh akhir pada 6-7 Februari.

Juara Piala Asia edisi kali ini akan ditabalkan selepas tamat perlawanan akhir pada 10 Februari nanti.

BACA: Ayah Menangis Saat Makan Hidangan Pertama Anak Baru Belajar Memasak

Sumber: CNN Indonesia, Kompas TV

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka