Cebisan Kain Jumpa Dekat Rangka Manusia Mungkin Milik Bella – Kakak
Cebisan kain yang dijumpai berhampiran rangka manusia tidak sempurna di sebuah rumah terbengkalai semalam berkemungkinan besar adalah milik Bella.
Menurut Sinar Harian, perkara berkenaan dimaklumkan oleh kakak Bella sendiri, Norisham, 36.
Katanya lagi, Bella keluar rumah pada 14 Disember lalu dengan mengenakan baju kelawar berwarna gelap.
Bagaimanapun, keluarga mangsa masih berharap bahawa rangka manusia yang ditemui itu bukan milik Bella.
“Saya dan keluarga mengharapkan keputusan ujian DNA yang dilakukan di Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru nanti akan memberikan jawapan berbeza dan rangka manusia itu bukan milik Bella.
“Ini kerana keluarga kami belum bersedia untuk menerima berita sedih selepas lebih sebulan mengharapkan pengakhiran tragedi kehilangan adik itu berlaku dengan baik,” katanya ketika seperti dilaporkan Sinar Harian.
Tambah Norisham, penemuan pada petang Jumaat itu juga telah menyebabkan ibunya Noraini Salleh, 54 tidak dapat melelapkan mata.
“Kami amat berharap ujian DNA dapat disegerakan. Jika betul rangka itu adalah Bella, kami mahu kebumikannya dengan sempurna,” katanya.
Rangka manusia ditemui pada petang Jumaat
Sebelum itu, Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat melaporkan penemuan rangka manusia tidak sempurna di sebuah rumah terbengkalai di Lorong Imam Jailani Kampung Batu 7, Tongkang Pecah.
Penemuan berkenaan dibuat pada jam 2 petang semalam selepas dipandu oleh salah seorang suspek kes tersebut.
Menurut Kamarul, tiga suspek telah ditahan berhubung kehilangan Bella sebelum ini.
Terdahulu, ibu tunggal dua anak itu gagal dihubungi selepas keluar rumah menaiki kereta teman lelakinya pada 14 Disember sekitar jam 11.50 malam.
Bella dikatakan keluar rumah untuk mencuci pakaian di kedai dobi dengan memakai baju kelawar berwarna biru gelap.
Bagaimanapun, Bella kemudiannya dilaporkan hilang dan telefon bimbitnya juga gagal dihubungi sehingga kini.
Selain itu, pesanan yang dihantar menerusi aplikasi WhatsApp turut menunjukkan satu tanda sahaja.
BACA: Jangan Marah Anak Kalau Malas Ke Sekolah, Mungkin Dia Dah Kena ‘Usik’
Sumber: Sinar Harian