Siakap Keli
dr mahathir diperlakukan penjenayah
Gambar: Awani

Dr Mahathir Dakwa Diperlakukan Seperti Penjenayah

Dr Mahathir Dakwa Diperlakukan Seperti Penjenayah

“Sekejap-sekejap saya disoal polis macam saya ni ‘common criminal’,” demikian luahan Tun Dr Mahathir Mohamad selepas mendakwa dirinya sering disoal siasat oleh pihak berkuasa sejak beberapa tahun lepas.

Menurut Dr Mahathir, setiap kenyataan yang dikeluarkan olehnya pasti akan diambil tindakan oleh pihak polis.

Berlainan pula dengan pihak lain yang turut mengeluarkan kenyataan perkauman tetapi tiada tindakan yang dikenakan ke atasnya, kata Dr Mahathir.

Terbaharu, Dr Mahathir berkata beliau telah memberi keterangan kepada polis.

Ia berkenaan dengan kenyataannya yang mengatakan masyarakat India di Malaysia tidak setia kepada negara.

“Ada laporan saja, polis asyik tanya saya. Saya jawablah. Saya rakyat yang mematuhi peraturan.

“Kalau tanya saya ikut undang-undang saya jawab,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya pada Selasa.

Difahamkan juga, kira-kira jam 4 petang hari ini Dr Mahathir selesai memberikan keterangan kepada tiga anggota polis di bangunan yayasan tersebut.

BACA: Tun Mahathir Sertai Himpunan Depan Istana Negara Hari Ini

Polis menyoal kira-kira 19 soalan kepada Dr Mahathir yang berkait dengan temu bualnya bersama televisyen India beberapa hari lalu.

“Mungkin akan ditanya lagi. Saya tak merungut, polis nak tanya, itu hak dia tapi saya nak tanya, kenapa saya seorang saja disoal siasat?

“Banyak orang lain buat kenyataan berbaur perkauman, sentuh 3R (agama, bangsa dan institusi diraja) tapi tak disoal.

“Banyak orang lain nama mereka terdapat dalam Kertas Pandora, Kertas Panama tapi tak disoal. Mereka buat kenyataan saja cukup.

“Kenapa saya tak boleh buat kenyataan saja? Nama saya tiada dalam kedua-dua kertas itu tapi saya disiasat oleh polis?” ujarnya.

Jelasnya, beliau tidak nampak apa-apa kesalahan dengan kenyataan yang diberikan tentang masyarakat India.

“Ada soalan yang ditanya saya boleh jawab seperti di mana rakaman temu bual tersebut, itu saya boleh jawab.

“Mereka tanya macam mana rakaman itu dibuat? Saya beritahu ia dibuat melalui Zoom, mereka ada di India. Tapi bila tanya mengenai kenyataan saya, mereka tunjuk rakaman video, saya tidak nampak apa yang salah.

“Saya ada hak mempunyai pendirian ataupun fahaman saya tapi nampaknya itu dikatakan salah… mereka tanya, saya kata akan jawab di mahkamah,” ujarnya.

Sumber: Awani

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana