Siakap Keli
Rakyat Kelantan mahu kualiti
Kredit BERNAMA

Rakyat Kelantan Mahu Kualiti Pengurusan Air Meningkat Selaras Tarif Air Baharu

Rakyat Kelantan Mahu Kualiti Pengurusan Air Meningkat Selaras Tarif Air Baharu

KOTA BHARU, 20 Jan (Bernama) — Pelarasan tarif air baharu yang diumumkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bermula 1 Feb ini diharap memberi kesan positif kepada kualiti bekalan air bersih di Kelantan.

Penghulu Kampung Limbat, di sini, Bukhari Daud, 67, berkata pihak pengurusan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dilihat memikul tugas besar dalam mencapai tujuan itu.

“Kita melihat perkara ini berdasarkan pencapaian pengurusan sumber air negeri ini yang tidak konsisten dan masih terdapat masalah berkaitan bekalan air hingga kini.

“Sebagai contoh dalam sebulan pasti akan berlaku tekanan air rendah, air kuning dan kadang-kadang berlaku bekalan air terputus di sesetengah kawasan menyebabkan ramai menggunakan air daripada telaga tiub yang dibina penduduk,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Menurutnya walaupun kenaikan tarif air itu bukan dalam jumlah yang besar, rakyat tetap mengharapkan pengurusan AKSB dapat memberikan perkhidmatan yang lebih baik.

BACA: Jangan Marah Anak Kalau Malas Ke Sekolah, Mungkin Dia Dah Kena ‘Usik’

Bukhari berkata pengurusan air yang kurang efektif ditunjukkan syarikat air itu sejak sekian lama memberi kesan kepada keyakinan rakyat terhadap prestasi AKSB dalam penyediaan air bersih.

“Namun, jika tanggungjawab ini dapat dilunaskan dengan baik, ia satu pencapaian yang besar dalam usaha menaik taraf pengurusan air di negeri ini sekali gus menamatkan kemelut yang sekian lama membelenggu rakyat,” katanya.

Peniaga makanan di Kampung Limbat, Samihah Hasnul Hardi, 33, pula berkata jika AKSB dapat membekalkan air yang bersih dan konsisten, dia tidak ada masalah untuk kembali menggunakan bekalan air daripada syarikat itu.

Ini kerana, katanya sejak lebih 10 tahun lepas dia menggunakan air dari telaga tiub yang dibina berdekatan rumah untuk melancarkan perniagaannya.

“Saya beralih kepada telaga tiub kerana tidak tahan dengan tekanan air yang sangat perlahan dan kadangkala tiada air langsung yang sudah tentu mengganggu kerja-kerja memasak,” katanya.

Sebelum ini dilaporkan, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri Datuk Dr Izani Husin berkata pelarasan tarif air yang berkuat kuasa pada 1 Feb dapat membantu kerja-kerja pembangunan, naik taraf, baik pulih serta penyelenggaraan infrastruktur bekalan air dengan lebih lancar seterusnya meningkatkan perkhidmatan air bersih di Kelantan.

Menurutnya ia juga bakal memberi kesan langsung terhadap kualiti perkhidmatan termasuk menangani gangguan bekalan dan aduan berkaitan masalah bekalan air.

BACA: Jangan Marah Anak Kalau Malas Ke Sekolah, Mungkin Dia Dah Kena ‘Usik’

Sumber: BERNAMA

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka