Ahli Parlimen Tanjong Karang Pula Isytihar Sokong Anwar
SHAH ALAM, 24 Jan (Bernama) — Seorang lagi Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hari ini mengisytiharkan sokongan terhadap kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menerusi kenyataan di laman Facebook, Ahli Parlimen Tanjong Karang Datuk Dr Zulkafperi Hanapi menyatakan sokongan itu setelah menyedari keperluan kepada kestabilan politik dan kelancaran pemulihan ekonomi negara serta menginsafi keperitan kehidupan rakyat dan kos sara hidup yang menghimpit ketika ini.
Beliau berkata keputusan itu adalah untuk memastikan nasib dan pembangunan penduduk di kawasan Parlimen Tanjong Karang terus terbela selain mendapat pelbagai manfaat termasuk peningkatan infrastruktur serta keperluan setempat.
“Saya juga ingin menyatakan sokongan kepada dasar dan inisiatif kerajaan MADANI yang mengutamakan kebajikan, pembangunan, ekonomi serta kepentingan rakyat sehingga Pilihan Raya Umum akan datang,” katanya.
Zulkafperi bagaimanapun berkata beliau masih setia sebagai ahli Bersatu dan tidak akan mengkhianati parti.
Namun demi memastikan kelangsungan Parlimen Tanjong Karang seiring dengan pemerintahan di peringkat Persekutuan, adalah wajar untuk beliau bersama dengan kepimpinan Putrajaya yang diketuai Anwar.
“Saya juga ingin menyatakan bahawa pengisytiharan sokongan ini kepada kepimpinan Perdana Menteri ke-10 adalah tanpa sebarang paksaan dan tekanan daripada mana-mana pihak dan saya lakukan dengan sepenuh hati untuk kepentingan penduduk Tanjong Karang,” katanya.
Zulkafperi menjadi wakil rakyat pembangkang keenam daripada Bersatu yang menyatakan sokongan kepada kepimpinan Anwar selepas Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).
Sumber: BERNAMA
BACA: Sokong Anwar Ibrahim, Keahlian Iskandar Dzulkarnain Dalam Bersatu Digantung 4 Tahun