Siakap Keli

Jabatan Peguam Negara Belum Buat Keputusan Mengenai Representasi Ahmad Zahid

PUTRAJAYA, 29 Jan (Bernama) — Jabatan Peguam Negara (AGC) masih belum membuat sebarang keputusan berhubung representasi Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk pihak pendakwaan menggugurkan rayuan terhadap keputusan melepas dan membebaskan Timbalan Perdana Menteri itu daripada 40 pertuduhan rasuah berhubung kontrak sistem Visa Luar Negara (VLN).

Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob memberitahu perkara berkenaan kepada Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Hadhariah Syed Ismail, yang mengetuai panel tiga hakim semasa pengurusan kes hari ini. Dua lagi hakim terdiri daripada Hakim Datuk Azman Abdullah dan Datuk S.M.Komathy Suppiah.

Oleh kerana tiada jawapan berhubung representasi, Hakim Hadhariah kemudian mengekalkan tarikh 18 Mac bagi pendengaran rayuan pihak pendakwaan.

“Sehubungan itu tarikh pendengaran pada 18 Mac kekal,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri tidak berada di mahkamah memandangkan kehadirannya dikecualikan kerana hari ini ditetapkan untuk pengurusan kes.

Ahmad Zahid mengemukakan representasi kepada AGC Januari tahun lepas untuk pertimbangan AGC untuk tidak meneruskan rayuan itu.

Pada 23 Sept 2022, Mahkamah Tinggi Shah Alam melepas dan membebaskan Ahmad Zahid, yang kini Timbalan Perdana Menteri, daripada semua pertuduhan itu selepas memutuskan bahawa pendakwaan tidak berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya. Pihak pendakwaan kemudian memfailkan notis rayuan kepada Mahkamah Rayuan.

Presiden UMNO itu mengaku tidak bersalah terhadap 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah SG$13.56 juta daripada syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri bagi menyambung kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan sistem VLN, serta untuk mengekalkan perjanjian kontrak bagi membekalkan sistem bersepadu VLN.

Ahmad Zahid yang juga bekas Menteri Dalam Negeri didakwa melakukan kesalahan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan Country Heights, Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Beliau juga memohon dibicarakan terhadap 33 pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan iaitu didakwa atas kapasitinya sebagai menteri dalam negeri atas tuduhan menerima rasuah berjumlah S$13.56 juta berhubung sistem VLN antara 2014 dan 2017.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa memperoleh untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000; RM3 juta; 15,000 Swiss Franc dan US$15,000 daripada syarikat sama yang mempunyai kaitan rasmi dengan tugas rasminya.

Ahmad Zahid didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Country Heights, Kajang antara Jun 2015 dan Oktober 2017.

Dalam petisyen rayuan yang difailkan pada 29 Dis tahun lepas, pihak pendakwaan mengemukakan 14 alasan yang memfokuskan kepada penemuan fakta dan undang-undang yang dibuat oleh hakim Mahkamah Tinggi mengenai persoalan sama ada terdapat unsur rasuah dalam pemberian dan penerimaan wang dalam kes itu.

— BERNAMA

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)