Siakap Keli
malaysia pertukaran agong

Malaysia Bersedia Saksi Pertukaran Agong Dalam 48 Jam, Bukti Keunikan Sistem Penggiliran Raja

Malaysia Bersedia Saksi Pertukaran Agong Dalam 48 Jam, Bukti Keunikan Sistem Penggiliran Raja

KUALA LUMPUR, 29 Jan (Bernama) — Malaysia sekali lagi akan menyaksikan momen yang amat bermakna dalam catatan sejarah Raja Berperlembagaan di negara ini dengan berlangsungnya dua istiadat penting dalam tempoh 48 jam ini, sekali gus menonjolkan keunikan sedia ada sistem penggiliran raja-raja Melayu yang telah diamalkan sejak 1957.

Esok, Yang di-Pertuan Agong ke-16 Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan menamatkan pemerintahan selepas memenuhi tempoh lima tahun di atas takhta sebagai Ketua Utama Negara bermula 31 Jan 2019.

Pada Rabu, tampuk pemerintahan negara bakal mencatat era baharu di bawah pemerintahan Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar yang akan dimasyhurkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 dalam istiadat penuh tradisi di Istana Negara.

Mengikut konvensyen penggiliran senarai sembilan negeri beraja, turutan negeri dalam pusingan pertama sistem penggiliran ini sejak 1957 ialah Negeri Sembilan, Selangor, Perlis, Terengganu, Kedah, Kelantan, Pahang, Johor dan Perak.

Pada 1994, penggiliran ini mula masuk pusingan kedua apabila bekas Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Almarhum Tuanku Ja’afar Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-10.

Kedua-dua peristiwa penting yang akan berlangsung esok dan Rabu ini pastinya dinantikan rakyat Malaysia dengan perasaan bercampur. Rasa sedih dan sebak pastinya mengiringi keberangkatan balik Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke Pahang.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah dijadual berangkat dari Istana Negara pada 8 pagi esok ke Dataran Parlimen bagi istiadat rasmi perpisahan.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut memaklumkan tujuh laluan akan terlibat dengan penutupan penuh manakala 13 laluan di sekitar ibu negara akan ditutup secara berperingkat sempena istiadat keberangkatan balik berkenaan.

Pasangan diraja itu dijadual berangkat balik dari Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 10 pagi sebelum berlepas pulang ke pangkuan rakyat Pahang.

Dalam pada itu, Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar, yang dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 menerusi Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-263 (Khas) pada 27 Okt 2023 akan dimasyhurkan  bagi menggantikan Al-Sultan Abdullah pada Rabu.

Baginda dijadual menyempurnakan Istiadat Melafaz Sumpah dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-264 (Khas) di Balairung Seri, Istana Negara yang akan turut menyaksikan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah mengangkat sumpah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh tempoh lima tahun bermula 31 Jan ini.

Sultan Ibrahim dan Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah dijadual berangkat dari Istana Bukit Serene, Johor pada pukul 7 pagi dan berlepas dari Hangar Diraja Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor Bahru sejam kemudian.

Pasangan diraja itu dijangka tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Subang pada kira-kira 10.30 pagi sebelum berangkat ke Istana Negara bagi menyempurnakan istiadat berkenaan.

Sultan Ibrahim yang diputerakan pada 22 Nov 1958 di Hospital Sultan Aminah, Johor Bahru, dimasyhurkan sebagai Sultan Johor pada 23 Jan 2010 selepas kemangkatan Almarhum Sultan Iskandar dan dimahkotakan pada 23 Mac 2015.

BERNAMA

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)