Siakap Keli
kanak-kanak dikejar anjing
Gambar: Tangkap layar video

Kanak-Kanak Nyaris Dilanggar Kereta Kerana Dikejar Anjing

Kanak-Kanak Nyaris Dilanggar Kereta Kerana Dikejar Anjing

LUMUT — Gara-gara dipercayai dikejar anjing, seorang kanak-kanak berdepan detik cemas selepas hampir dilanggar sebuah kereta dalam satu insiden di Jalan Haji Mohamad Ali dekat Sitiawan semalam, lapor Sinar Harian.

Dalam kejadian 8.54 pagi yang sempat dirakamkan oleh pengguna jalan raya mendedahkan dua kanak-kanak cemas melarikan diri daripada dikejar haiwan berkenaan.

Klip berdurasi 20 saat itu menunjukkan salah seorang daripadanya berlari dan melintas jalan.

Walau bagaimanapun, kanak-kanak itu tersungkur di atas jalan sewaktu berlari, mengakibatkan sebuah kereta Proton Wira yang berada di lorong kanan terpaksa mengelak lalu menaiki pembahagi jalan.

Difahamkan, kanak-kanak terbabit dilaporkan terselamat dan dipercayai hanya mengalami kecederaan ringan dalam insiden itu.

BACA: Kenapa Langit Bertukar Warna Hijau Ketika Dilanda Ribut? Ini Sebabnya

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamad Nordin Abdullah turut mengesahkan menerima laporan berhubung insiden berkenaan.

“Satu laporan dibuat setelah video berkenaan tular di media sosial dan aduan tersebut disalurkan kepada Majlis Perbandaran Manjung (MPM) untuk diambil tindakan.

“Difahamkan pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit telah menyita tiga ekor anjing di lokasi kejadian. Siasatan lanjut dijalankan,” katanya  sewaktu dihubungi.

Sumber: Sinar Harian

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?