Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Otai 86 Tahun Bergelar Pengantin Baharu Lepas Setahun “Try”
BACHOK — Selepas setahun mencuba nasib dengan mengurat, lelaki warga emas menzahirkan rasa syukur selepas wanita idamannya menerima pinangannya, lapor Sinar Harian.
Abdullah Ali, 86, berkata, isterinya, Siti Zabidah Zakaria, 63, pernah menolak pinangannya sebelum ini. Walau bagaimanapun, Siti Zabidah akhirnya terbuka hati untuk mendirikan rumah tangga bersamanya.
“Selepas ditolak, saya tidak berputus asa.
“Setahun saya cuba tambat hatinya, alhamdulillah jodoh kami ada dan selamat disatukan pada Sabtu lalu,” ujarnya kepada pemberita ketika ditemui pada hari ini.

Mengulas lebih lanjut, Abdullah memberitahu, dia jatuh cinta dengan keperibadian lemah-lembut yang ada Siti Zabidah.

Bagaimanapun, pada awalnya wanita kepada dua anak berusia sekitar 40-an itu tidak mempunyai keinginan untuk berkahwin.
Perkara itu menjadikannya sukar untuk dipikat, kata Abdullah.

Lebih-lebih lagi, Siti Zabidah sebelum ini pernah berkahwin sebanyak dua kali. Namun, jodohnya dan kedua-dua suami sebelum ini tidak panjang apabila lelaki tersebut meninggal dunia pada tahun 2003 dan 2021.
“Lagipun kami berdua masing-masing tinggal sendirian. Kebetulan anak-anak saya sama baya dengan isteri dan memberi restu untuk kami bersatu,” jelasnya.
Peneman Hidup

Abdullah yang mempunyai tiga anak berusia 60 hingga 65 tahun menyifatkan perkahwinannya dan Siti Zabidah lebih kepada menghabiskan sisa-sisa hidup.
Dia juga gembira dapat keluar membawa isterinya makan angin. Sehingga kini, dia masih mampu memandu kenderaan kerana penglihatannya masih dalam keadaan baik
Biarpun sudah dimamah usia, Abdullah yang juga seorang petani memberitahu, dia bebas daripada sebarang penyakit sama seperti pasangannya.
Terdahulu, majlis akad nikah bapa kepada tiga anak berumur lingkungan 60 hingga 65 tahun itu tular di TikTok. Difahamkan, majlis tersebut diadakan di Masjid Al-Abrar, Mukim Pauh Sembilan.
Sumber: Sinar Harian