Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Tan Sri Mustapa Mohamed berkongsi detik pertemuannya dengan Tan Sri Hanafiah Hussain, 101, yang juga merupakan rakan sedarjah bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed.
Menerusi perkongsian di media sosial, Mustapa yang lebih mesra disapa sebagai Tok Pa berkata pertemuan dengan Tan Sri Hanafiah itu berlangsung di Masjid As-Syarif semalam, ketika beliau hadir menziarahi Allahyarhamah Tun Dr Hasmah Mohamad Ali.
Hanafiah merupakan tokoh profesional yang dikenali sebagai orang Melayu pertama bergelar Akauntan Bertauliah (Chartered Accountant), selain merupakan pengasas firma perakaunan Hanafiah, Raslan dan Mohamad.
Tok Pa Kongsi Jumpa Rakan Sedarjah Tun M
Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen serta Pengerusi Eksekutif Bank Bumiputra.
“Semoga Allah kurniakan Tan Sri kesihatan yang berpanjangan,” kata Mustapa menerusi perkongsian tersebut.
Hantaran yang dibuat oleh Tok Pa itu pantas menjadi viral dan mendapat lebih 17 ribu tanda suka, lebih 200 komen dan diulang kongsi lebih 660 kali.
Menjengah ke ruang komen hantaran berkenaan, rata-rata rakyat Malaysia merasa tersentuh melihat insan hebat berkenaan yang dikenali sebagai sahabat kepada Tun Dr Mahathir sejak sekian lama.
“Allahu, apa la amalan mereka hingga dipanjangkn umur sampai 100 tahun. Moga Allah lindungi dan beri kesihatan sentiasa kepada Tan Sri dan Tun kita, amin,” komen pemilik akaun Puteri Bongsu IV.
“Memperkenalkan insan-insan berjasa pada negara kepada generasi baru. Semoga insan-insan istimewa diberi kesihatan yang baik di penghujung usia. Kita semua akan menuju ke satu tempat untuk dibicarakan dan dihisab oleh Pencipta. Aamin,” komen pemilik akaun Azizah Omar pula.
“Masya-Allah. Kedua-duanya insan yang hebat dan berjasa kepada negara. Panjang usia mereka berdua. Semoga Allah memberkati usia mereka, Tan Sri dan Tun,” komen seterusnya oleh pemilik akaun Yusniza Yusoff.
Terdahulu, negara menerima perkhabaran duka apabila Tun Dr Hasmah Mohamad Ali dilapor dunia pada pagi Isnin.
Jenazah Allahyarhamah disembahyangkan di Masjid As-Syarif sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Presint 20, Putrajaya selepas Asar semalam, dalam Istiadat Pengebumian Pembesar Negara.

