Siakap Keli
daim isytihar harta
Bernama

TERKINI: Daim Didakwa Tidak Isytihar Harta Libatkan 38 Syarikat, 25 Unit Hartanah, Kereta Mewah

TERKINI: Daim Didakwa Tidak Isytihar Harta Libatkan 38 Syarikat, 25 Unit Hartanah, Kereta Mewah

KUALA LUMPUR, 29 Jan (Bernama) — Bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta termasuk beberapa kenderaan mewah, syarikat dan hartanah di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah.

Daim, 85, atau nama sebenarnya Che Abdul Daim Zainuddin yang hadir ke mahkamah berkerusi roda, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

“Saya faham pertuduhan, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan,” katanya di luar kandang tertuduh.

Mengikut pertuduhan, Daim didakwa dengan sengaja memberikan satu pernyataan bertulis dengan bersumpah yang tidak mematuhi terma notis bertarikh 8 Nov 2023 yang dihantar kepada beliau oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berpangkat Pesuruhjaya pada 14 Nov 2023 iaitu dengan tidak mengisytiharkan harta.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya pada 13 Dis 2023 mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda hingga RM100,000, jika sabit kesalahan.

Harta-harta berkenaan ialah akaun bank Amanah Saham Nasional Berhad (ASB) dan Amanah Saham Nasional (ASN), tujuh kenderaan mewah iaitu sebuah kereta jenama Rolls Royce Royce 2 Axle Rigid Body, tiga Mercedes Benz dan masing-masing sebuah kereta jenama Jaguar XJS HE, Austin Morris Austin dan Ford Prefect.

Selain itu, terdapat 38 syarikat yang tidak diisytiharkan iaitu Ibu Kota Developments Sdn Bhd, Maya Seni Holdings Sdn Bhd, Menara Ampang Sdn Bhd, Dream Cruiser Sdn Bhd, Landbelt Corporation Sdn Bhd, Kenari Teliti Sdn Bhd, Fnq Advanced Materials Sdn Bhd, Kota Tandop Development Sendirian Berhad, Alun-Alun Resort (M) Sdn Bhd dan Dasar Seroja Sdn Bhd.

Syarikat lain ialah Gigantic Promotions Sdn Bhd, Jupiter Alliance Sdn Bhd, Inayat Realty Sdn Bhd, Suasa Urus Sdn Bhd, Avillion Berhad, Meridian Haven Sdn Bhd, Avillion Vista Hotel Sdn Bhd, Vast Access Sdn Bhd, Fortune Valley Sdn Bhd, Reliance E-Com Sdn Bhd, Admiral Marina Berhad, Golden Envoy (M) Sdn Bhd, Mela Lifestyle Sdn Bhd, AVI SPA Sdn Bhd dan Avillion Hotel Group Sdn Bhd.

RPB Capital Holdings Sdn Bhd, Genius Field Sdn Bhd, Festive Place Sdn Bhd, Avillion Suite Hotel (PD) Sdn Bhd, Taman Unik Sdn Bhd, Admiral Cove Development Sdn Bhd, Nesline Sdn Bhd, RPB Development Sdn Bhd, OS Resources Sdn Bhd, Avillion Hotel (Kl) Sdn Bhd, Avillion Hotels International Sdn Bhd, Admiral Hill Hotel Sdn Bhd dan Reliance Shipping & Travel Agencies (Perak) Sdn Berhad, turut tidak diisytiharkan.

Harta lain membabitkan 25 hartanah antaranya beberapa unit kondominium, rumah dan hotel melibatkan 18 di Kuala Lumpur dan Selangor, masing-masing tiga di Pahang dan Negeri Sembilan, manakala satu hartanah di Kedah.

Pada 23 Jan lepas, isteri Daim, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid, 66, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen sama atas pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta termasuk Menara Ilham dan beberapa hartanah di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Sebelum ini, Nai’mah dan dua anak lelakinya hadir ke ibu pejabat SPRM untuk memberi keterangan serta membantu siasatan agensi antirasuah itu terhadap Daim yang juga seorang ahli perniagaan.

SPRM turut menjelaskan bahawa siasatan terhadap Daim berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada Kertas Pandora iaitu pendedahan berkaitan dokumen sulit golongan kaya dan berpengaruh dunia yang menyembunyikan kekayaan dengan menggunakan perkhidmatan luar pesisir atau syarikat berpangkalan di luar negara.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin menawarkan jaminan antara RM250,000 hingga RM500,000 berserta syarat tambahan tertuduh menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM Putrajaya sebulan sekali.

Wan Shaharuddin turut memohon agar semua pihak tidak membuat sebarang komen tentang kes dihadapi tertuduh di mahkamah sehingga kes itu selesai.

“Kes ini telah dituduh di mahkamah dan kami faham kebebasan bersuara rakyat Malaysia. Namun, ia ada had dan elak komen berbentuk subjudis,” katanya.

Menurut Wan Shaharuddin, ia bukanlah suatu perintah larangan atau gag order, tetapi lebih kepada nasihat daripada mahkamah supaya tertuduh tidak membuat ulasan sehingga kes ini selesai.

Peguam M. Puravalen mewakili Daim yang memohon jaminan minimum berkata anak guamnya mengalami penyakit buah pinggang dan strok ringan sejak beberapa tahun lepas.

“Beliau mengalami jangkitan kulat pada matanya, menyebabkan satu daripada mata beliau dibuang. Boleh dikatakan beliau hanya duduk di rumah,” kata peguam itu dan turut memohon anak guamnya tidak dikenakan syarat tambahan berikutan keadaan kesihatannya.

Dalam pada itu, Wan Shaharuddin tidak membantah jika tertuduh memohon kepada mahkamah untuk membuat pemeriksaan kesihatan dan mahkamah juga sedia maklum kerana sudah ada beberapa permohonan seperti itu dalam kes lain di mahkamah.

Hakim Azura membenarkan tertuduh diikat jamin RM280,000 dengan seorang penjamin dan tidak mengenakan sebarang syarat tambahan dengan mempertimbangkan keadaan tertuduh.

“Berkenaan isu komen, saya faham dan rasa semua pihak cukup matang untuk tidak memberi sebarang komen tentang kes ini. Kes telah dituduh di mahkamah dan mohon kedua-dua pihak tidak memberi komen yang subjudis kepada kes ini,” katanya.

Mahkamah menetapkan 22 Mac ini untuk sebutan kes.

Pendakwaan turut dikendalikan Ahmad Feisal Mohd Azmi, Mohamad Fadhly Mohd Zamry dan Maziah Mohaide, manakala Puravalen dibantu peguam Nizamuddin Hamid, N. Rajesvaran dan Sachpreetraj Singh.

Prosiding hari ini dihadiri ahli keluarga Daim termasuk isterinya, Na’imah dan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

— BERNAMA

Sumber: Bernama

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)