Pasangan Namakan Puteri Sulung ‘Azizah’, Junjung Kasih Pesanan Raja Permaisuri Agong
Sepasang suami isteri menamakan puteri sulungnya ‘Azizah’ selepas bertemu dengan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ketika mendapatkan tandatangan pasangan diraja semasa Kembara Kenali Borneo pada September 2023, lapor Awani.
Ketika pertemuan tersebut, Raja Permaisuri Agong memberikan pesanan ringkas kepada suami selepas dia memaklumkan tentang kandungan isterinya.
“Jika bayi itu perempuan, berikan namanya Azizah, jika lelaki berikan namanya Abdullah,” pesanan Raja Permaisuri Agong.
Empat bulan kemudian, pasangan yang dikenali sebagai Hasri Omar dan Nur Fatin Syakila Baddu itu memaklumkan kegembiraannya di Facebook apabila menyambut kelahiran anaknya pada 9 Januari lepas.
Bayi itu telah diberikan nama Azizah Yumna Azzahra Hasri bersempena menjunjung kasih pesanan daripada Raja Permaisuri Agong.
“Masya-Allah, Tabarakallah. Assalamualaikum, Alhamdulillah syukur Ya Allah. Selamat melahirkan little AZIZAH setelah berperang di labour room dan akhirnya ke OT room pada 9 Januari 2024.
“Sempena penamatan pemerintahan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkuat kuasa esok (30 Januari 2024) setelah genap lima tahun, patik dan keluarga kecil patik Menjunjung Kasih atas perkenan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah memberi nama ‘AZIZAH’ untuk puteri sulung kami semasa KEMBARA KENALI BORNEO pada September 2023.
“Semoga YDPA dan RPA serta keluarga senantiasa diberikan kebahagiaan, kesihatan yang baik serta berpanjangan dan kemakmuran,” menurut kakitangan kerajaan itu di laman Facebooknya.
Nur Fatin turut mengimbas kembali detik-detik suaminya bertemu dengan pasangan diraja itu.
Menerusi video yang dimuat naik wanita tersebut di TikTok (@nfa_syakila), ia memaparkan keterujaan Hasri ketika dia bertemu dengan pasangan diraja tersebut.
Hasri pada ketika itu sedang berusaha untuk mendapatkan tandatangan pasangan diraja itu sambil memberitahu bahawa isterinya sedang mengandung.
Menerusi video berdurasi 30 saat itu, Raja Pemaisuri Agong telah bertanyakan jantina anak di dalam kandungan isterinya.
Bagaimanapun pada ketika itu, Hasri berkata mereka masih belum mengetahui jantinanya lagi.
Lantas Raja Pemaisuri Agong berkata sekiranya bayi tersebut adalah perempuan, namakannya sebagai Azizah dan jika lelaki letakkan Abdullah untuk namanya.
@nfa_syakila Alhamdulillah… ‘little Azizah’ HasriFatin sudah lahir… ❣️ semoga Allah SWT lindungi, panjangkan usia dan jaga Azizah Yumna Azzahra Binti Hasri… Aamiin ❤️ @mr.konco Terima Kasih suamiFatin untuk segalanya 🌹
Sumber: Awani
BACA JUGA: Dua Penterjemah Bahasa Isyarat Di Konsert Coldplay Singapura Tular