Wanita Indonesia Maut, Dijumpai Di Tepi Tangga
Polis mengesahkan seorang wanita dipercayai warga Indonesia maut dan ditemukan dalam keadaan berlumuran darah di tepi tangga tingkat lima sebuah bangunan, Desa Mentari, Petaling Jaya pada Isnin.
Lapor Sinar Harian, mangsa dalam lingkungan 20-an itu mempunyai kesan kecederaan di badan.
Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, selepas pihaknya menerima laporan kira-kira jam 6.30 pagi, sepasukan forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor telah dihantar ke tempat kejadian.
Jelasnya, bagi mengenal pasti kesan kecederaan yang dialami mangsa, siasatan lanjut akan dijalankan.
Dalam pada itu, beliau turut berkata usaha untuk mengesan pelaku masih dijalankan.
Beliau turut meminta saksi kejadian untuk tampil memberikan kenyataan ke balai polis berhampiran.
“Kami meminta sesiapa yang menyaksikan kejadian itu untuk tampil ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.
“Kami juga akan membuat pemeriksaan kamera litar tertutup (CCTV) untuk siasatan lanjut,” katanya pada Isnin.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sumber: Sinar Harian