Siakap Keli
friendster comeback menyepi 2015
Kredit: Friendster

Menyepi Sejak 2015, Friendster Bakal Kembali?

Menyepi Sejak 2015, Friendster Bakal Kembali?

Laman web rangkaian sosial, Friendster dijangka bakal membuat kemunculan semula selepas menyepi sejak 2015.

Friendster merupakan antara platform media sosial yang terawal dan popular pada awal 2000-an.

Menurut CNN, laman sesawang rasmi Friendster kini boleh diakses menerusi pautan https://friendster.com/.

Selepas pautan tersebut diakses, halaman muka depan laman sesawang menunjukkan latar belakang berwarna putih dengan foto beberapa wajah manusia.

Pada paparan muka depan laman web berkenaan juga tertera frasa “Era Baharu Rangkaian Peribadi”.

Selain itu, laman sesawang berkenaan juga menampilkan teks “Kembali Untuk Orang Ramai”.

Gamit memori, Friendster bakal kembali tidak lama lagi?

Teks berkenaan seolah-olah menjadi petanda bahawa media sosial itu bakal kembali tidak lama lagi.

Dalam pada itu, Friendster menjanjikan beberapa kelainan untuk versi ini dan memberikan pengalaman lebih memukau terhadap pengguna.

“Anda bakal menemui semula semua persona yang ada pada rangkaian media sosial terawal. Kini, ditambah baik dengan sentuhan kontemporari.

“Friendster versi terbaharu ini lebih baik dari sebelumnya untuk orang ramai,” kata butiran pada lawan web tersebut.

Di bawah teks berkenaan, terdapat satu ruangan untuk mengisi emel bagi pengguna yang ingin mendapatkan akses terawal bagi platform ini.

Friendster, salah satu platform yang menggamit memori pengguna-pengguna yang lahir pada 80-an.

Untuk makluman, Friendster merupakan media sosial yang terawal dan popular sekitar awal 2000-an.

Media sosial tersebut dihasilkan oleh pengaturcara asal Kanada, Jonathan Abrams pada 2002.

Manakala, nama Friendster itu pula diambil dari dua perkataan iaitu, “Friend” yang bermaksud kawan dan “Napster”, iaitu sistem perkongsian fail.

Pada Jun 2008, Friendster telah mencatatkan rekod penggunaa aktif bulanan iaitu kira-kira 37.1 juta orang di seluruh dunia.

Menerusi angka tersebut, majoriti pengguna Friendster merupakan pengguna-pengguna dari benua Asia.

Hal ini dibuktikan dengan rekod pengguna aktif bulanan bagi platform Friendster di Asia yang mencecah sekitar 33 juta pengguna.

Ekoran prestasinya yang memberangsangkan, Friendster telah memperolehi pembiayaan sehingga $50 juta (RM236.47 juta) dari beberapa modal usaha niaga.

Selepas penggunaan laman sesawang berkenaan mulai merosot, Friendster telah dijual kepada syarikat perkhidmatan kewangan asal Malaysia, MOL Global pada 2009.

Media sosial berkenaan kemudian dijual kepada syarikat yang juga merupakan subsidiari milik Razer Merchant Services dengan nilai  $40 juta (RM189.18 juta).

Kemudian, Friendster telah berubah menjadi laman web gim dalam talian. Seterusnya, data-data berkenaan pengguna bagi media sosial tersebut telah dipadam Friendster pada tarikh 31 Mei 2011.

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, laman sesawang media sosial ini sangat popular dalam kalangan pengguna di Asia. Hal ini kerana, lebih daripada 90 peratus trafik penggunaannya datang dari benua ini.

Antara 10 negara yanng kerap mengakses Friendster adalah Filipina, Indonesia, Malaysia, Singapura, Pakistan, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sudan, Korea Selatan, Bangladesh, dan India.

BACA: Ingatkan Tengkolok Sahaja, Ini 7 Pakaian Istiadat Diraja Perlu Diketahui

Sumber: CNN Indonesia

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma