Nenek Bersama Cucu Rentung Dalam Kebakaran Di Ranau
Seorang nenek bersama cucunya dilapor maut selepas ditemui rentung dalam satu kejadian kebakaran rumah di Kampung Matan, Ranau pada Khamis.
Memetik Sinar Harian, kejadian berkenaan berlaku kira-kira 10.30 malam.
Dalam kejadian tersebut, mangsa yang berusia 60 tahun bersama cucunya yang berusia 4 tahun terkorban selepas terperangkap dalam rumah tersebut.
Manakala ibu kepada kanak-kanak itu berjaya keluar menyelamatkan diri.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Ridwan Mohd Taib berkata panggilan kecemasan berkenaan kejadian telah diterima pada jam 10.53 malam.
Susulan laporan itu, seramai lapan anggota kemudiannya telah dikerahkan ke lokasi kejadian yang terletak 15 kilometer dari BBP Ranau.
“Menurut komander operasi, kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis kekal terbakar 100 peratus dan operasi memadam api segera dilakukan menggunakan sumber air dari tangki jentera serta pili bomba berhampiran.
“Hasil pemeriksaan terdapat dua mangsa rentung ditemui dalam bilik manakala seorang lagi wanita sempat keluar dari rumah tersebut,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.
Tambah Ridwan lagi, api berjaya dikawal pada jam 11.45 malam, namun operasi memadamkan api sepenuhnya tetap diteruskan selepas itu.
BACA: Bolehkah Bakteria Dalam Badan Pengaruhi Mood Seseorang? Ini Apa Yang Anda Perlu Tahu
Sumber: Sinar Harian