Jordan Ke Perlawanan Akhir, Korea Selatan Nak Elak Jumpa Siapa?
Selepas Jepun menjadi mangsa Qatar, awal pagi tadi pasukan Korea Selatan pula ‘dibaham’ pasukan dari Timur Tengah. Korea Selatan tewas 2-0 pada aksi separuh akhir AFC Piala Asia 2023 sekaligus gagal mara ke perlawanan akhir. Selepas perlawanan itu, Klinsmann hanya tersenyum. Itu tanda Korea Selatan mengelak jumpa siapa?
Jordan pula mencipta sejarah baru untuk bola sepak mereka apabila kali pertama melayakkan diri ke perlawanan akhir dalam pentas tertinggi di Asia. Sejurus tamat perlawanan awal pagi tadi, sah trofi Piala Asia akan kekal di Timur Tengah untuk tempoh 4 tahun lagi sehingga 2027.
Pada edisi 2019 yang berlangsung di Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Qatar membenam pasukan Jepun pada perlawanan akhir dengan keputusan 3-1. Sekaligus, diangkat sebagai juara. Untuk edisi kali ini, Qatar sebagai juara bertahan bakal bertemu Iran pada lewat malam ini untuk merebut tiket ke perlawanan akhir bertemu Jordan.
Namun, ini bukan kali pertama trofi Piala Asia kekal lama di Timur Tengah. Dalam sejarah Piala Asia, trofi ikonik itu pernah kekal di Timur Tengah dari edisi 1972 sehingga 1988. Ini bermakna 5 edisi Piala Asia dimenangi oleh negara dari Timur Tengah berturut-turut.
Jordan Luar Biasa
Jordan diundi dalam kumpulan E untuk kempen Piala Asia kali ini bersama Malaysia, Korea Selatan dan Bahrain. Ramai penyokong Malaysia yang marah bila Malaysia tewas 4-0 di tangan Jordan kerana rata-rata salah ukur kehebatan Jordan untuk kempen kali ini.
Perlawanan kedua Jordan seri dua sama dengan Korea Selatan namun tewas 1-0 ditangan Bahrain. Jordan tidak layak ke peringkat 16 terbaik sebagai juara atau naib juara kumpulan. Mereka bertuah kerana menjadi 4 pasukan di tempat ketiga terbaik sekaligus melengkapkan 16 pasukan ke peringkat kalah mati (play-off).
Adakah ini strategi Jordan untuk mengelak dari bertemu Jepun atau Saudi di peringkat 16 terbaik? SK hanya mampu tersenyum sinis dengan ‘mitos’ ini. Jordan tewaskan Iraq 3-2 untuk layak ke suku akhir kejohanan. Lawan Jordan di suku akhir juga bukanlah mudah, kemenangan 1-0 ke atas Tajikistan sudah memadai untuk menempah tempat ke separuh akhir.
Pasukan pilihan juara, Korea Selatan menanti Jordan di separuh akhir. Namun, sejak wisel ditiupkan Jordan terus-menerus menekan Korea Selatan. Sepanjang perlawanan, Jordan mencatat 17 percubaan dan tujuh daripadanya adalah percubaan tepat. Percaya atau tidak, Korea Selatan mencatat 8 percubaan dan tiada satu pun percubaan tepat dalam perlawanan itu.
Walaupun Korea Selatan mendominasi bola sebanyak 70 peratus, namun gol Yazan Al-Naimat dan Musa Al-Tamaari sudah cukup untuk mengecewakan kem Jurgen Klinsmann yang diketuai oleh pemain prolifik, Son Hyeung-Min.
4 Pemain & Bekas Pemain Liga Malaysia Wakil Jordan
Noor Al-Rawabdeh adalah pemain Selangor FC sejak tahun lepas sehingga kini. Manakala Fadi Awad pula beraksi bersama pasukan PDRM FC sejak 2022 sehingga kini. Yazan Al-Aarab pula pernah mewakili Selangor FC sebelum dikenakan hukuman larangan seumur hidup dari Liga Malaysia kerana insiden menyepak pengadil ketika aksi Selangor FC lawan Terengganu FC di Stadium MBPJ.
Yazan telah menjaringkan satu gol dalam kempen Piala Asia kali ini. Dan yang terakhir adalah Mahmoud Al-Mardi yang pernah beraksi untuk pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan telah menjaringkan dua gol dalam aksi Piala Asia di Qatar.
Penjaring terbanyak untuk pasukan Jordan setakat ini adalah Yazan Al-Naimat dan Musa Al-Tamaari yang menjadi kunci kemenangan ke atas Korea Selatan. Masing-masing telah menyumbang tiga gol dalam kempen Piala Asia kali ini.
Empat pemain yang beraksi dan pernah beraksi di Liga Malaysia kini di pentas final Piala Asia Qatar! Noor Al-Rawabdeh, Fadi Awad, Yazan Al-Arab dan Mahmoud Al-Mardi. 🇯🇴@ASTROARENA pic.twitter.com/haShq200bP
— Zulhelmi Zainal Azam (@zulhelmizainal1) February 6, 2024
Siapa Lawan Jordan? Qatar Atau Iran
Separuh akhir kedua yang bakal berlangsung lewat malam ini (11pm waktu Malaysia) bukanlah satu pertembungan yang asing. Kerana mereka datang dari rantau yang sama. Untuk rekod, malam ini bakal menjadi pertemuan ke-19 untuk kedua-dua negara. Kali terakhir mereka bertemu pada 18 Oktober 2023 dalam aksi persahabatan. Qatar tewas 4-0 dengan Iran dalam perlawanan itu.
Sepanjang 18 perlawanan bertemu, rekod jelas menyebelahi Iran dengan 11 kemenangan. Qatar hanya memenangi dua perlawanan dan lima kali pertemuan berakhir dengan keputusan seri.
Qatar selaku juara bertahan dan juga tuan rumah kali ini pasti memiliki sedikit kelebihan. Beraksi di hadapan puluhan ribu rakyat Qatar yang akan membanjiri stadium Al-Thumama. Stadium Al-Thumama mampu memuatkan sehingga 44,400 penonton dalam satu masa.
Iran pula membawa gelaran pasukan no.2 terbaik di Asia apabila menduduki ranking ke-21 FIFA dan hanya empat anak tangga terpisah dengan Jepun. Rekod pertemuan dengan Qatar yang lebih memihak kepada Iran juga bakal menjadi tonik penting untuk membawa pasukan ini ke perlawanan akhir.
Dalam sejarah Piala Asia, Iran sudah tiga kali menjuarai kejohanan berprestij ini iaitu pada tahun 1968, 1972 dan 1976. Menariknya, ketiga-tiga gelaran juara itu dimenangi secara berturut-turut. Ini peluang Iran untuk menamatkan kemarau 48 tahun penantian trofi Piala Asia yang seterusnya.
Untuk Qatar pula, menjuarai Piala Asia di bumi UAE adalah satu sejarah baru dalam catatan bola sepak mereka kerana edisi 2019 itulah kali pertama Qatar layak ke perlawanan akhir dan menjuarai Piala Asia. Jika berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir awal pagi esok, satu lagi sejarah baru terlakar dan lebih manis sejarah itu dicipta di negara sendiri.