Siakap Keli
2093 Tapak Pelupusan Sampah

KPKT Progresif Tutup 2093 Tapak Pelupusan Sampah Haram Di Bawah Pentadbiran Kerajaan Madani

KPKT Progresif Tutup 2093 Tapak Pelupusan Sampah Haram Di Bawah Pentadbiran Kerajaan Madani

KUALA LUMPUR, 5 Februari 2024 – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Tuan Nga Kor Ming (YB KM), menjelaskan bahawa Kementerian Perumahan dan
Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui agensi Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) telah melaksanakan pembasmian besar-besaran tapak sampah haram di tujuh (7) buah negeri yang mengguna pakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal 2007 (Akta 672).

Sepanjang tahun 2023, sejumlah 2,093 tapak lokasi sampah haram telah ditutup melibatkan anggaran kos pembersihan berjumlah RM1.6 juta dengan anggaran jumlah sisa yang dibersihkan adalah sebanyak 6,410 tan. Kenyataan ini telah dibuat semasa YB KM turun padang dalam Operasi Pembersihan dan Penutupan Tapak Pelupusan Sampah Haram bertempat di Jalan Davis, Kuala Lumpur pada petang ini.

2093 Tapak Pelupusan Sampah

YB KM berkata, “KPKT memandang serius isu berkaitan pengurusan sisa pepejal di bawah fungsi SWCorp di mana pelaksanaan operasi berterusan tapak pelupusan
sampah haram merupakan antara inisiatif utama Kementerian pada tahun ini.”Ianya bertepatan dengan gagasan Malaysia MADANI yang memfokus kepada dua tonggak utama iaitu Kesejahteraan dan Ihsan dalam memberi keselesaan dan kesejahteraan kepada rakyat selaras dengan hasrat KPKT yang sentiasa prihatin terhadap kualiti kehidupan masyarakat”.

YB KM turut menambah “Sepanjang tahun 2023, sebanyak 15 kes pendakwaan mahkamah telah berjaya disabitkan kesalahan dengan jumlah denda sebanyak RM168,000.00”. Katanya lagi, penutupan tapak pelupusan sampah haram ke 2,093 ini melibatkan kekuatan anggota dan petugas seramai 44 orang daripada SWCorp, Alam Flora Sdn Bhd dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan jumlah sisa pukal dan sisa binaan yang dibersihkan sebanyak 500 tan.

YB KM turut menekankan bahawa pelbagai usaha akan giat dijalankan oleh Kementerian sebagai langkah ‘way forward’ untuk membanteras kewujudan tapak pelupusan sampah haram ini secara komprehensif. 5 strategi utama telah dirangka iaitu:

1) Memasang CCTV di setiap hot spot sampah haram untuk memantau dan membawa pesalah ke muka pengadilan;
2) Menjalankan pemeriksaan ‘aliran sisa’ terhadap penjana sisa binaan dan sisa institusi, komersial dan industri untuk memastikan sasaran sifar lokasi sampah haram menjelang tahun 2026 tercapai;
3) Menubuhkan Skuad Tindak Pantas di peringkat SWCorp bagi melaksanakan pelan tindakan yang dirancang;
4) Mencadangkan tapak pelupusan sisa lengai baharu untuk pelupusan sisa binaan dan sisa institusi, komersial dan industri; dan
5) Mempertingkatkan penguatkuasaan dan pendakwaan berkaitan kesalahan melupuskan sisa pepejal di tempat tidak dibenarkan.

2093 Tapak Pelupusan Sampah

Sempena sambutan Tahun Baru Cina yang akan disambut tidak lama lagi, kerja-kerja kutipan sisa pepejal isi rumah dan sisa pukal akan diteruskan dan dipergiatkan. Keperluan untuk meningkatkan frekuensi kutipan terutamanya sisa pukal di kawasan berpenduduk tinggi kaum cina, akan dilihat dari semasa ke semasa dan mengikut keperluan. Justeru, penduduk dinasihatkan untuk mengeluarkan sisa pukal yang tidak dikehendaki untuk tujuan kutipan.

Turut hadir YB Tuan Fong Kui Long, Ahli Parlimen Bukit Bintang; YB Tan Kok Wai, Ahli Parlimen Cheras; YBhg. Datuk Wira M Noor Azman bin Taib, Ketua Setiausaha KPKT;
YBhg. Datuk Saidatu Akhma binti Hassan, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Persekitaran Mampan) KPKT, YBrs. Ir. Ts. Dr. Mohd Azhar bin Abd Hamid, Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara; dan YBhg. Dato’ Ahmad Husaini bin Abdul Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp;

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa