Siakap Keli
peniaga warung terkenal ditahan

Peniaga Warung Terkenal Ditahan, Disyaki Cabul Kehormatan 6 Kanak-kanak Lelaki

Peniaga Warung Terkenal Ditahan, Disyaki Cabul Kehormatan 6 Kanak-kanak Lelaki

Polis Melaka menahan seorang peniaga warung terkenal yang disyaki mencabul kehormatan enam kanak-kanak lelaki baru-baru ini, lapor Awani.

Suspek yang berusia kira-kira 57 tahun itu dipercayai menjadikan kanak-kanak terbabit sebagai pemuas nafsu songsangnya sejak September tahun lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi, tindakan keji suspek terbongkar ke pengetahuan pihak polis semalam.

Perkara ini ekoran tindakan keenam-enam mangsa tampil membuat laporan kepada pihak polis pada 6 Februari 2024.

“Bertindak atas maklumat yang diterima, suspek kemudian berjaya di tahan di rumahnya di Simpang Bekoh, di sini kira-kira pukul 8.56 malam tadi.

“Siasatan awal mendapati, suspek akan memberi upah RM50 hingga RM100 kepada mangsa-mangsa yang masih bersekolah ini sebelum dia mencabul kehormatan kanak-kanak berkenaan,” kata Ahamad Jamil.

Beliau menambah, Majistret Mohd Firdaus Salleh di Mahkamah Jasin telah membenarkan permohonan reman selama tujuh hari.

Ekoran itu, suspek akan mula direman bermula hari ini iaitu, pada Rabu (7 Februari 2024) dan berakhir pada 13 Februari ini.

Manakala, kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 14(a)/15A(1)/ 15B(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Warga Emas Ditahan Cabul 2 Kanak-kanak Di PPS

Terdahulu, dalam kejadian lain, polis telah menahan seorang lelaki warga emas kerana disyaki melakukan amang seksual terhadap dua kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun di sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Kuala Nerus pada November tahun lepas.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, suspek berusia 61 tahun yang juga mangsa banjir di PPS sama ditahan susulan dua laporan polis dibuat oleh keluarga dua kanak-kanak berkenaan.

Menurut laporan polis, suspek telah memujuk dua kanak-kanak berkenaan untuk ke suatu tempat di PPS berkenaan dengan alasan untuk mengajar sebelum dipercayai melakukan perbuatan itu.

Susulan kejadian itu, Mazli berkata pihak polis akan meningkatkan rondaan keselamatan bagi mencegah kejadian sama daripada berulang.

Pada masa yang sama, beliau menasihati ibu bapa untuk lebih peka dan mengawasi pergerakan anak-anak sepanjang berada di PPS.

BACA: Cara Tahu Usia Sebenar Kereta Terpakai, Bukan Sekadar Tengok “Mileage”

Sumber: Astro Awani

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma