Siakap Keli
tragedi kepala air bidor
Kredit: Bernama

Tragedi Kepala Air Bidor: Dua Mayat Terakhir Ditemukan

Tragedi Kepala Air Bidor: Dua Mayat Terakhir Ditemukan

TAPAH, 8 Feb (Bernama) — Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa  tragedi kepala air di Sungai Kenjur dekat Kampung Poh, Bidor ditamatkan susulan penemuan mayat dua beradik perempuan sekitar 9 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Tapah Supt Mohd Naim Asnawi berkata mayat pertama yang dikenal pasti sebagai Hanum Marissa Azam, 2, telah ditemukan di Jambatan Kampung Poh yang berjarak tiga kilometer (km) dari tempat kejadian.

“Mayat kedua yang dikenali sebagai Hanna Mikayla Azam, 7, telah ditemukan 600 meter dari lokasi kejadian.

“Susulan daripada penemuan ini juga pusat kawalan tempat kejadian (PKTK) di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Poh ditamatkan serta-merta,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Dalam kejadian 4.03 petang semalam, enam sekeluarga dan seorang pembantu rumah terperangkap dalam tragedi kepala air sewaktu sedang berkelah di Sungai Kenjur Kampung Poh, Bidor.

Empat daripada mangsa iaitu seorang wanita bersama tiga anaknya hilang dihanyutkan arus deras sementara tiga lagi terselamat.

Mayat ibu tiga beradik itu Aszura Bani, 37, ditemukan petang semalam manakala mayat anaknya Hafiy Muhayat Azam, 4, ditemukan 9.45 malam tadi.

Mohd Naim berkata buat masa ini lokasi perkelahan tersebut ditutup kepada kunjungan orang ramai sehingga siasatan kes selesai.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak Sayani Saidon berkata kejadian berkenaan berlaku disebabkan faktor cuaca selain arus deras yang menyebabkan semua mangsa tidak berupaya untuk menyelamatkan diri.

“Kalau kita lihat semua mangsa adalah perempuan dan kanak-kanak. Jadi apabila berlaku aliran deras (kepala air) mereka pula pada waktu itu berada di tengah-tengah sungai maka keupayaan untuk menyelamatkan diri amat terbatas,” katanya.

Selain itu, beliau berkata pihaknya menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati sewaktu menjalankan aktiviti beriadah di lokasi berdekatan sungai dan punca air.

“Kalau boleh dengan keadaan cuaca yang tidak menentu ini, saya nasihatkan orang ramai supaya mengehadkan aktiviti di tempat berair bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini,” katanya.

BACA: Rasa Nak Bersara Awal, Ketahui Syarat-Syarat Sebelum Mohon

Sumber: Bernama

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma