Siakap Keli
kafe ada "safe zone"

Kafe Ada “Safe Zone” Untuk Anak Istimewa, Mudahkan Ibu Bapa Ketika Makan

Kafe Ada “Safe Zone” Untuk Anak Istimewa, Mudahkan Ibu Bapa Ketika Makan

Membawa kanak-kanak yang istimewa seperti autistik, Gangguan Hiperaktif Defisit Perhatian (ADHD) dan sebagainya keluar rumah merupakan satu cabaran yang besar buat para ibu bapa.

Hal ini kerana, terdapat kemungkinan kanak-kanak tersebut akan bertindak di luar jangkaan dan memberikan rasa kurang senang buat orang yang berada di sekelilingnya.

Namun begitu, naluri seorang kanak-kanak adalah untuk meneroka sesuatu yang baharu. Dengan erti kata lain, membawanya ke luar rumah adalah satu cara efektif untuk memperkenalkan perkara baharu kepada mereka.

Jika golongan kelainan upaya ini hanya dibiarkan berada di dalam rumah, sudah semestinya mereka akan terlepas banyak peluang berbanding kanak-kanak lain.

Alangkah indahnya jika ada tempat yang menawarkan ‘zon selesa’ buat para keluarga yang memiliki anak-anak istimewa ini.

Justeru, seorang wanita bersama pasangan telah memenuhi hasrat ibu bapa bagi mencipta satu kafe mesra Orang Kelainan Upaya (OKU), khususnya kanak-kanak yang mengalami masalah pembelajaran.

Farah Farhana merupakan pengurus bagi salah sebuah kafe yang terletak di Kota Damansara iaitu, Khaw, Coffee & Co. Menariknya, kafe ini memiliki kisah unik yang menjadikannya lain daripada yang lain

khaw coffee co

“Dekat sini, kita lebih kepada family cafe,” ujar wanita ini, yang mana kafe yang diusahakannya tidak seperti kafe tipikal di sekitar Lembah Klang.

Kebiasaannya, kebanyakan kafe memiliki persekitaran yang senyap dan khusus untuk golongan yang berkerja di luar pejabat. Keadaan ini menyebabkan golongan ibu bapa semakin sukar untuk mencari tempat untuk meraikan hari-hari istimewa bersama anak istimewa mereka.

Berbeza dengan kafe ini, pengunjung boleh berjalan-jalan di sekitar dalam kafe dan meneroka setiap inci di dalamnya, tanpa dihakimi mana-mana pihak.

Kebanyakan perabot di dalam kafe ini juga dibuat sendiri dan memastikan setiap perabot selamat dan tidak membahayakan kanak-kanak.

 

“Kami galakkan ibu bapa untuk membawa anak-anak istimewa ke sini. Kami tidak memiliki sebarang masalah (untuk menerima kehadirannya ke sini),” katanya.

Pengusaha kafe ini sedaya upaya untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada kanak-kanak ini, khususnya dalam meneroka benda baru.

“Kadang-kadang, ibu bapa yang memiliki anak-anak istimewa perlukan me time. Kami faham dan semua dijemput hadir (ke kafe ini),” katanya lagi.

Dapat menjadi lebih fleksibel untuk menguruskan masa.

Pada awalnya, Farah dan suaminya merupakan tulang belakang di sebalik syarikat yang menawarkan khidmat kontraktor dan konsultan.

Namun, sumber pendapatan daripada perusahaan tersebut sedikit terjejas apabila wabak pandemik melanda pada 2020.

Maka, perniagaan makanan yang asalnya hanya terbuka dalam kalangan rakan-rakan dan ahli keluarga diperluaskan bagi memenuhi keperluan semasa.

Selain itu, Farah berkata bahawa golongan yang mengusahakan perniagaan lebih fleksibel dalam pengurusan masa.

 

“Orang kata bila kita berniaga, kita dapat uruskan masa kita sendiri. Benda tu sangat-sangat betul yang mana saya dapat tengok anak-anak saya membesar,” katanya.

Wanita ini menyifatkan perkara itu adalah satu kelebihan yang diperolehi oleh seseorang yang terlibat dalam dunia perniagaan.

Sungguh pun perniagaan kafe sudah berkembang pesat, mereka masih tidak meninggalkan perkhidmatan kontraktor dan konsultan yang dianggap sebagai ‘bread and butter‘ bagi kehidupan mereka,

Kedua-dua jenis perniagaan ini dilaporkan telah berkembang baik apabila keadaan di Malaysia kembali pulih dari wabak pandemik.

Lebih menarik, nama Khaw, Coffee & Co memiliki pelbagai maksud yang tersendiri

Sekali imbas, mungkin kita akan menyangka bahawa perkataan Khaw pada nama kafe ini bermaksud ‘kaw’, seperti yang biasanya digunakan oleh rakyat Malaysia untuk menggambarkan sesuatu rasa yang padu dan pekat.

Sebenarnya, nama Khaw diambil daripada bahasa Thai yang bermaksud beras, sekali gus merujuk pada produk pertama yang diperkenalkannya.

Bubur Khaw merupakan produk pertamanya, yang mana menawarkan bubur nasi dengan pelbagai jenis lauk kepada pelanggan.

Menurut Farah, bubur menjadi pilihannya kerana makanan ini dianggap sebagai soul food dalam kalangan masyarakat.

Secara lazimnya, bubur nasi merupakan makanan yang boleh dinikmati pelbagai lapisan masyarakat kerana mudah dicerna dan mudah untuk dimakan.

Sungguh pun makanan ini boleh dinikmati oleh semua pihak, kelibatnya dalam pasaran agak sukar. Jadi selepas bersalin sekitar 2017, Farah terdetik untuk membuka perniagaan bubur ini secara kecil-kecilan.

khaw coffee co

Dari sini, Farah telah mengambil maklum balas daripada rakan-rakannya untuk menambah baik kualiti produknya.

Siapa sangka pada hari ini, perniagaan bubur nasi yang hanya terbuka dalam kalangan rakan-rakan rapat telah memiliki premis kafenya yang tersendiri.

Untuk mengetahui perjalanan hidup Farah bersama perniagaannya, Khaw, Coffee & Co , anda boleh menonton video di bawah:

 

Bagi sesiapa berminat untuk mencuba hidangan dari kafe ini, anda boleh pergi ke kafe Khaw, Coffee & Co pada pautan ini.

Anda juga boleh menghubungi pihak Khaw, Coffee & Co menerusi laman Instagram, Facebook dan Whatsapp untuk makluman lanjut.

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma