Siakap Keli
Syarikat kereta EV Li Auto
Kredit AFP

Syarikat EV China Bagi Staf Bonus Hingga 8 Bulan Gaji, Jualan 2023 Lepasi Sasaran

Syarikat EV China Bagi Staf Bonus Hingga 8 Bulan Gaji, Jualan 2023 Lepasi Sasaran

Syarikat kereta elektrik (EV) premium China, Li Auto dilapor akan memberikan bonus tahunan sebanyak empat hingga lapan bulan gaji kepada hampir 20,000 pekerjanya.

Memetik SCMP, pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif, Li Xiang berkata pemberian bonus tersebut sebagai menghargai kerja keras kakitangannya.

“Kami memberi bonus kecil tahun lepas kerana syarikat gagal mencapai sasaran jualan untuk 2022.

“Tetapi tahun ini, bonus besar akan diberikan kerana kita berjaya melepasi sasaran jualan tahun lepas,” kata Li Xiang.

Syarikat itu berjaya menjual sebanyak 376,030 kenderaan EV premium pada 2023. Jumlah jualan tahun ke tahun itu melonjak sebanyak 182 peratus dan melebihi sasaran jualan 300,000 unit yang ditetapkan.

Jumlah jualan itu juga telah berjaya memecahkan rekod jualan bulanannya selama sembilan bulan berturut-turut antara April dan Disember.

Dalam pada itu, Li Xiang berkata bahawa Li Auto juga akan terus berpegang pada sistem gaji untuk menggalakkan pekerjanya sentiasa menunjukkan prestasi yang baik.

Jadi pencabar utama Tesla

Menurut SCMP, jualan EV premium Li Auto dalam pasaran tempatan hanya diatasi oleh gergasi EV Amerika Syarikat, Tesla.

Tesla berjaya menyerahkan lebih 600,000 unit Model 3 dan Model Y kepada para pelanggannya di China, tahun lepas.

Jumlah jualan tersebut merupakan peningkatan sebanyak 32 peratus berbanding jualan pada 2022.

Selain Li Auto, dua lagi pencabar Tesla dalam pasaran EV premium adalah Nio dan Xpeng.

Nio menjual kira-kira 160,000 unit kenderaan pada tahun 2023, meningkat 36 peratus daripada sasaran awal mereka.

Manakala Xpeng pula berjaya menjual kira-kira 141,600 unit kenderaan pada tahun lepas.

Bagaimanapun, jualan itu menurun sebanyak 29 peratus daripada unjuran yang ditetapkan syarikat berkenaan.

Sehingga kini, pembuat kereta elektrik telah menjual sebanyak 8.9 juta unit kenderaan di tanah besar China pada tahun lepas.

Menurut Persatuan Kereta Penumpang China, jumlah itu meningkat sebanyak 37 peratus daripada jumlah keseluruhan yang direkodkan pada tahun2022.

Bagaimanapun, Fitch Rating pada November tahun lepas meramalkan pertumbuhan jualan EV di China akan menjadi perlahan sebanyak 20 peratus pada tahun ini.

BACA: Bolehkah Bakteria Dalam Badan Pengaruhi Mood Seseorang? Ini Apa Yang Anda Perlu Tahu

Sumber: SCMP

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka