Siakap Keli
lelaki petir main bola
Gambar: Tangkap layar video tular

Tular Lelaki Maut Disambar Petir Semasa Main Bola Sepak

Tular Lelaki Maut Disambar Petir Semasa Main Bola Sepak

Seorang lelaki di Indonesia dilaporkan meninggal dunia selepas disambar petir ketika bermain bola sepak di Stadium Siliwangi, Bandung dalam kejadian pada Sabtu, lapor CNN.

Ketua Polis Bandung Komisioner Budi Sartono berkata kejadian tersebut dipercayai berlaku ketika perlawanan persahabatan yang diadakan kira-kira jam 3 petang waktu Indonesia.

Menurutnya, kejadian tersebut telah menjadi tular di media sosial dan mangsa dalam kejadian itu merupakan penduduk di bandar Subang yang terletak di Indonesia.

“Tragedi sambar petir itu berlaku sekitar jam 3 petang.

“Mangsa berusia 35 tahun dan tinggal di Desa Karangmanyar,” kata Budi dalam satu kenyataan.

Budi berkata ekoran dipanah petir ketika bermain, mangsa telah terbaring dan terus dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.

“Dia dibawa ke Hospital Sariningsih, Kota Bandung,” ujarnya.

Tambah Budi, mayat mangsa telah dibawa ke tempat pengebumian sejak semalam berikutan pihak keluarga tidak mahu melakukan bedah siasat.

“Keluarga mangsa tidak sanggup melakukan bedah siasat kerana sudah takdir Allah dan mereka ikhlas menerima kejadian itu,” katanya.

BACA: Siapa Pemegang Rekod Maraton Dunia Kelvin Kiptum?

Tidak hujan tetapi cuaca mendung

Manakala, menurut saksi kejadian ketika tragedi itu berlaku keadaan cuaca di sekitar Stadium Siliwangi masih cerah.

Walau bagaimanapun, awan kelihatan gelap dari bahagian selatan dan timur stadium.

Menceritakan kembali, dia berkata apabila perlawanan berlangsung selama 15 minit, kilat pertama menyambar.

Bagaimanapun, sambaran petir itu tidak kena pada padang tempat mereka bermain.

Kemudian, satu lagi panahan kilat muncul yang serta-merta mengejutkan kedua-dua pasukan hingga ramai orang jatuh ke tanah.

“Apabila petir menyambar, semua orang serta-merta rebah termasuk mangsa,” ujarnya.

Mangsa yang sudah tidak sedarkan diri kemudian dibawa ke tepi padang.

Menurut keterangan saksi, mangsa mengalami luka hitam kemerahan di bahagian dada dan kasut bola yang dipakai mangsa turut terbakar.

Mangsa kemudiannya dibawa ke hospital dan disahkan meninggal dunia akibat terpanah petir.

Sumber: CNN

Nurhanis

noktah