Siapa Pemegang Rekod Maraton Dunia Kelvin Kiptum?
Semalam, negara Kenya dikejutkan dengan kehilangan emas permata selepas polis mengesahkan pemegang rekod dunia maraton semasa, Kelvin Kiptum meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.
Untuk pengetahun, Kiptum merupakan atlet kebanggaan Kenya selepas beliau secara aktif memecahkan rekod peribadi dan juga mencipta rekod dunia.
Sebelum mencipta nama dalam dunia maraton, Kiptum hanyalah seorang lelaki biasa sehingga beliau membuat keputusan untuk memasuki pertandingan larian pada usia 18 tahun.
Kiptum yang baru sahaja menapak dalam larian pada awalnya hanya memakai kasut pinjaman kerana beliau tidak mampu membeli sepasangnya sendiri.
Bagaimanapun, selepas bakatnya dalam larian semakin diiktiraf, Kiptum pada Oktober tahun lepas berhasil mencipta rekod baharu dunia apabila beliau memakai kasut yang terbaru dalam rangkaian ‘kasut super’ Nike.
Sesetengah peminat berkata kasut tersebut sedikit sebanyak membantu Kiptum mencapai pencapaiannya dengan cemerlang.
Tidak dinafikan selepas peminat mendapat tahu tentang kasut yang dipakai olehnya, rata-rata peminat mula menyerbu kedai berdekatan untuk memiliki kasut Kiptum.
Terdapat juga sesetengah penjual semula menjual dengan harga yang lebih mahal susulan kasut tersebut menyumbang kepada pencapaian terbesar Kiptum selain menjadi ‘saksi’ atlet tersebut mencipta rekod baharu dunia.
BACA: Penunggang Motosikal, Pemandu Kereta Diminta Tampil Buat Laporan
Sejarah Kiptum dalam larian dan maraton
Dilahirkan pada 2 Disember 1999, Kiptum merupakan pelari jarak jauh Kenya dan pemegang Rekod Dunia Maraton dengan catatan masa dua jam 35 saat.
Seawal usia 18 tahun, Kiptum telah memenangi Eldoret Half Marathon dengan catatan masa yang direkodkan iaitu 1:02:01 sekali gus membuatkan beliau melakukan debut di peringkat antarabangsa di Lisbon Half Marathon pada Mac 2019.
Beliau kemudiannya mencatat rekod terbaik dalam acara tersebut dengan catatan masa 58 minit 42 saat dan menjalankan maraton sulungnya di Valencia, Sepanyol, pada 4 Disember 2022.
Anak kelahiran Kenya itu mencatat separuh penutup terpantas dengan catatan masa selama satu jam 15 saat dan menamatkan saingan dengan masa 2:01:53, menjadi orang ketiga dalam sejarah yang memecahkan rekod dua jam dua minit.
Beliau menewaskan juara maraton dunia 2022 Tamirat Tola, antara yang digemari peminat sebelum perlumbaan.
Kiptum yang berusia 24 tahun itu juga menjadi pelari maraton debutan terpantas dalam sejarah.
Difahamkan, beliau adalah satu-satunya dalam sejarah yang berlari maraton dengan catatan masa di bawah dua jam satu minit dalam perlumbaan yang layak rekod.
Beliau membuat penampilan sulung di World Marathon Major dan memenangi Marathon London 2023 dengan masa kedua terpantas dalam sejarah 2:01:25, 16 saat di luar rekod dunia ketika itu.
Kiptum yang sering memecahkan rekodnya sendiri berjaya mencipta rekod dunia maraton baharu dengan masa dua jam 35 saat di Marathon Chicago 2023 pada 8 Oktober tahun lalu.
Sumber: The Standard, The Star, Daily Mail