Siakap Keli
Main kutu salah
Kredit BERNAMA

Main Kutu Sebenarnya Salah, Boleh Didenda Sehingga RM500,000

Main Kutu Sebenarnya Salah, Boleh Didenda Sehingga RM500,000

Sejak kecil, kita sudah dididik untuk menabung dan menyimpan wang oleh ibu bapa kita.

Kebiasaannya, wang yang disimpan di dalam tabung adalah berupa duit syiling atau baki daripada perbelanjaan di sekolah.

Bak kata pepatah, “sedikit-sedikit teku, lama-lama menjadi bukit”, kita sering diberitahu simpanan walau kecil, jika dibuat selalu, lama-lama hasilnya akan berlipat kali ganda.

Selain menabung, kita juga pasti pernah mendengar tentang permainan kutu, bukan?

Main kutu biasanya melibatkan sekumpulan individu yang dikepalai seorang ibu kutu yang mengumpul duit dari setiap ahli.

Wang yang dikumpul pula diserahkan kepada ahli pemain kutu mengikut giliran, yang biasanya ditentukan berdasarkan cabutan nombor giliran.

Aktiviti ini biasanya dimulakan ibu kutu, yang sering menjadi penerima pertama wang yang dikutip.

Dengan kata lain, permainan kutu selalu dimulakan oleh mereka yang memerlukan wang segera, lalu bertindak menjadi ibu kutu dan penerima pertama.

Mungkin ada yang menganggap bahawa permainan kutu ini bagus, kerana ia secara tidak langsung dapat membantu kita untuk menyimpan.

Permainan ini selalunya berjalan atas kepercayaan antara satu sama lain dan tidak terikat dengan apa-apa perjanjian bertulis.

Justeru, terdapat risiko yang perlu ditanggung oleh mereka yang terlibat dalam permainan ini.

Antara risiko yang mungkin dihadapi adalah seperti ada peserta secara tiba-tiba mahu menarik diri dan keseluruhan sistem permainan ini akan gagal.

Selain itu, peserta juga berisiko kehilangan duit jika sesuatu berlaku pada ibu kutu atau ibu kutu pecah amanah dengan melarikan duit-duit tersebut.

Maka sebab itulah, main kutu sebenarnya satu kesalahan dan di negara kita, terdapat undang-undang khusus tentang main kutu.

Akta Larangan Kumpulan Wang Kutu 1971

Akta yang dinamakan sebagai Akta Larangan Kumpulan Wang Kutu 1971 ini telah memperuntukan bahawa mereka yang bersalah boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Apabila disabitkan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, jika anda menjadi mangsa penipuan ‘ibu kutu’, anda juga boleh membuat laporan polis di balai berhampiran.

Selepas laporan berhubung kejadian itu dibuat, kes akan dipindahkan kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk siasatan lanjut.

Semoga bermanfaat ya.

BACA: Bolehkah Bakteria Dalam Badan Pengaruhi Mood Seseorang? Ini Apa Yang Anda Perlu Tahu

Sumber: KPDN

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka