Wanita Cedera Parah Di Tangan, Diserang Dua Penyamun Bersenjata
MELAKA — Seorang wanita berdepan detik cemas ketika diserang dua penyamun bersenjata hingga mengalami cedera parah di bahagian tangan.
Kejadian tersebut dipercayai berlaku berhampiran kedai dobi di Masjid Tanah pada Selasa.
Ketua Polis Melaka, Deputi Komisioner Datuk Zainol Samah berkata pihaknya mengesan satu rakaman video yang dimuat naik oleh pemilik akaun media sosial Facebook.
Klip berdurasi 30 saat itu memaparkan sebuah kenderaan telah melanggar kenderaan lain yang diletakkan di tepi jalan serta dikejar dua orang individu terbabit.
“Siasatan awal polis mendapati kejadian tersebut berlaku pada Selasa dimana seorang perempuan berusia 36 tahun.
“Wanita yang juga merupakan seorang ibu tunggal itu telah hadir ke Balai Polis Masjid Tanah bagi memohon bantuan.
“Mangsa mendakwa telah dicederakan oleh dua individu yang tidak dikenali dengan menggunakan senjata tajam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Zainol berkata hasil siasatan mendapati kenderaan yang dipandu oleh mangsa telah dihalang oleh suspek setibanya di kedai dobi tersebut.
Beliau berkata ketika kejadian dua individu yang tidak dikenali telah bertindak memecahkan cermin tingkap kereta mangsa dengan menggunakan senjata tajam.
Jelasnya, wanita tersebut kemudiannya mengambil tindakan menggundurkan kenderaan sehingga melanggar sebuah kenderaan lain yang berada di kawasan berhampiran bagi menyelamatkan diri.

“Mangsa seterusnya ke balai polis Masjid Tanah bagi memohon bantuan polis dan menyedari bahawa tangan sebelah kirinya mengalami luka parah,” ujarnya.
BACA: Kenapa Ada Jaring Pada Belakang MotoGP Sewaktu Ujian Litar? Ini Kata Pakar
Sehingga kini, polis masih melakukan siasatan dan kes itu diklasifikasikan mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan serta Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
“Polis turut menyeru kepada orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat untuk menyalurkannya ke balai-balai polis berhampiran atau menghubungi pengawai penyiasat kes Inspektor Muhammad Nadzir bin Abdul Rahman di talian 017-3214830,” katanya lagi.
https://www.facebook.com/IPKMelaka/posts/pfbid02dt5NU3ZVJN4a32URnvRm9pGJEscMMDF1cBarS6o7sGsAt5sqYU9t4wsJ2axxss9Nl
Sumber: Polis Melaka