Siakap Keli
sumbangan taib mahmud
Gambar: Bernama

Berjaya Kurangkan Kadar Kemiskinan, Ketahui Sumbangan Allahyarham Tun Abdul Taib Mahmud Terhadap Sarawak

Berjaya Kurangkan Kadar Kemiskinan, Ketahui Sumbangan Allahyarham Tun Abdul Taib Mahmud Terhadap Sarawak

Pada awal pagi hari ini, Malaysia khususnya rakyat Negeri Sarawak dikejutkan dengan berita duka pemergian salah seorang figura penting, Bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud.

Difahamkan, allahyarham menghembuskan nafas terakhir sekitar jam 4.28 pagi di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur.

Berikutan itu, rata-rata rakyat menzahirkan rasa sedih  dan menyifatkan pemergian Abdul Taib merupakan satu kehilangan besar buat negeri itu.

Hal ini kerana beliau telah banyak memberikan sumbangan dan jasa antaranya mengurangkan kadar kemiskinan di Sarawak daripada kadar 70 peratus kepada serendah satu digit sahaja.

Disebabkan itu, Allahyarham digelar sebagai Bapa Pembangunan dan Pemodenan Sarawak.

BACA: Siap Ada Meja Sendiri, Kucing Dibawa “Fine Dining” Tengok Menu Pun Rasa Mewah

Bapa Pembangunan dan Pemodenan Sarawak

Menurut laporan UKAS, Abdul Taib atau nama sebenarnya Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud merupakan seorang tokoh bermatlamat dan mempunyai visi yang jelas.

Allahyarham telah memegang jawatan sebagai Ketua Menteri Sarawak (kini dikenali sebagai Premier Sarawak) selama 33 tahun.

Sumbangan

Sepanjang allahyarham memerintah negeri Sarawak, kewibawaannya berjaya mengurangkan kadar kemiskinan negeri itu.

Ini kerana beliau sangat menekankan polisi politik pembangunan yang berpaksikan kesaksamaan bagi mewujudkan pembangunan dan kemakmuran Sarawak agar sebarang perbalahan politik, sama ada dalaman atau luaran diketepikan.

Langkah ini bertujuan untuk menjamin pembangunan ekonomi negeri Sarawak terus berkembang pesat. Disebabkan visi beliau, aspek politik, ekonomi dan kebudayaan di Sarawak telah mengalami lonjakan reformasi yang pesat.

BACA: Tun Abdul Taib Mahmud Meninggal Dunia

Kecemerlangannya dalam bidang pentadbiran telah membuka hubungan baik antara Sarawak dengan Kerajaan Persekutuan. Perkara itu diterjemahkan dalam meraih sokongan dan tenaga untuk membangunkan infrastruktur di Bumi Kenyalang itu.

Selain itu, usaha-usaha membawa masuk kampus universiti-universiti Barat dan Australia ke Sarawak amat dititikberatkan oleh Abdul Taib. Inisiatif ini bagi merapatkan jurang ketidaksamaan.

Beliau turut menyokong usaha perancangan bandar, perancangan sumber asli, perladangan berskala besar dan pembangunan tanah adat (NCR) terhadap kawasan-kawasan bandar dan luar bandar agar duduk sama rendah berdiri sama tinggi.

Pada tahun 2008, beliau telah memperkenalkan Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui (SCORE) yang bertujuan mempelbagaikan ekonomi masa hadapan Sarawak.

Perjalanan Dalam Bidang Politik

Gambar: UKAS

Pada 21 Mei 1936, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud telah dilahirkan di bandar Miri, Sarawak.

Bukan sahaja berdarah bangsawan, Abdul Taib juga cemerlang dalam bidang akademik kerana ditawarkan biasiswa Colombo Plan bagi melanjutkan pelajaran di menara gading dalam jurusan undang-undang di Universiti Adelaide Australia.

Cintanya kepada bumi Sarawak bagai isi dengan kuku apabila menolak pelawaan berkerja sebagai hakim. Perkara itu dibuktikan apabila beliau menjawat jawatan pendakwa raya di negeri tercinta.

Pada  22 Julai 1963 beliau mengangkat sumpah sebagai seorang menteri sekaligus melakar sejarah sebagai tokoh termuda dalam kancah politik Sarawak.

Kepimpinannya terus terserlah selepas dilantik sebagai Ketua Menteri Sarawak yang keempat pada 16 Mac 1981 hingga 28 Februari 2014 (33 tahun).

Garis masa itu menjadikan Abdul Taib sebagai Ketua Menteri paling lama berkhidmat dalam sejarah Sarawak.

Pada 1 Mac 2014, beliau telah dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak yang Ketujuh dan menabur bakti selama hampir 10 tahun.

Pada 26 Januari 2024, beliau mengumumkan telah melepaskan jawatan berkenaan terhadap Tun Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Tidak dinafikan allahyarham merupakan tokoh yang berpengaruh dan disegani ramai.

Beliau terkenal dengan semangat patriotisme dengan cuba menyingkirkan tembok tradisi dan taraf sosial dalam kalangan masyarakat Sarawak.

Semoga rohnya dicucuri rahmat.

BACA JUGA: Confirm Selamat Dan Berkualiti, Nak Beli Buah Dan Sayur, “Check” Dulu Ada Logo Ni

Sumber: UKAS

Iqbal Yasir

A wise man once said "Siuuuuu"

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.