Siakap Keli
eksploitasi nasab nabi
Gambar: Sinar Harian

Menteri Hal Ehwal Agama Siasat Isu Eksploitasi Nasab Suci Nabi

Menteri Hal Ehwal Agama Siasat Isu Eksploitasi Nasab Suci Nabi

PUTRAJAYA —  Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan menyiasat pendedahan yang dinyatakan dalam laporan akhbar tempatan bertajuk “Eksploitasi Nasab Suci Nabi”.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr Mohd Na’im Haji Mokhtar berkata siasatan itu dilakukan dengan kerjasama rapat bersama pihak berkuasa agama Islam khususnya Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri (JAIN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurutnya, perkara itu dibuat selepas pihaknya mengikuti perkembangan laporan sebuah akhbar tempatan yang disiarkan pada Selasa lalu mengenai isu tersebut.

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang akan cuba mengeksploitasi agama untuk berkepentingan diri mahupun kumpulan tertentu,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau menasihatkan semua pihak supaya sentiasa merujuk kepada JAIN berkaitan apa-apa urusan berkaitan pentauliahan mana-mana pendakwah agar setiap perkara yang disampaikan selari dengan ajaran Islam.

BACA: Polis Tahan Lelaki Tunjuk Aksi “Drift”, Rempuh Kenderaan Lain

“Semua pihak adalah diseru sentiasa berpegang kepada neraca ilmu, fakta dan menjauhkan diri daripada taksub.

“Ketaksuban yang melampau dalam sesuatu perkara adalah berbahaya kepada diri dan masyarakat.

“Sikap taksub akan menyebabkan seseorang mudah terpengaruh dengan sesuatu dakwaan oleh individu mahupun kumpulan tertentu,” ujarnya.

Baru-baru ini tular seorang individu yang mendakwa dirinya merupakan keturunan Nabi Muhammad S.A.W. hingga mencetuskan spekulasi ramai.

Sumber: Fb Dato’ Setia Dr. Naim

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?