Siakap Keli
bomba lemas 19 jam
Kredit: Bernama

Mayat Anggota Bomba Lemas Ditemui Selepas 19 Jam Operasi SAR

Mayat Anggota Bomba Lemas Ditemui Selepas 19 Jam Operasi SAR

BUTTERWORTH, 23 Feb (Bernama) — Selepas 19 jam operasi mencari akhirnya mayat anggota bomba, Mohd Izwan Illias, yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ketika menyelenggara bot di Jeti Pangkalan Marin Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Mak Mandin, ditemui petang ini.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata mayat Mohd Izwan, 42, ditemui pasukan mencari dan mmenyelamat (SAR) pada jam 5.32 petang dalam radius 20 meter dari lokasi terakhir dia dilaporkan terjatuh.

“Penemuan ini hasil daripada strategi operasi dan berdasarkan pergerakan baca arus, kita kecilkan skop pencarian daripada satu kilometer ke hilir dan 500 meter (m) ke hulu kepada radius 100m ke hulu dan 300m ke hilir.

“Sebelum itu, di peringkat awal juga dua ekor anjing dari Unit Anjing Pengesan (K9) telah menunjukkan pengesanan dalam radius 50m dari lokasi boya atau titik lokasi mangsa terjatuh.

“Jadi berdasarkan pengesanan itu kita dapat kecilkan radius pencarian dan pada 5.32 petang salah seorang anggota pasukan penyelamat ternampak satu jasad dan disahkan milik Mohd Izwan,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Nor Hisham berkata, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis dan dibawa ke hospital untuk proses seterusnya.

Katanya, kes diklasifikasikan sebagai terkorban ketika menjalankan tugas rasmi justeru satu majlis istiadat penghormatan terakhir akan diadakan di kediaman keluarga anggota terbabit di Kampung Pekan Darat, Seberang Perai Utara (SPU) sebagai tanda menghargai komitmen dan pengorbanan Allahyarham sepanjang berkhidmat dalam pasukan JBPM.

Menurut Nor Hisham, tindakan selanjutkan selepas ini adalah melihat kepada kebajikan balu serta lima anak yang ditinggalkan.

“Bila hidup dalam pasukan bomba ini kita tidak dapat lari daripada risiko luar jangka tetapi paling penting, kita akan tengok isu kebajikan keluarga, pertamanya kita akan koordinasi dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan kedua melihat dalam payung kebajikan bomba,” katanya.

Beliau dalam pada itu berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi pencarian hingga mayat mangsa ditemui.

Katanya, secara keseluruhan operasi SAR melibatkan seramai 160 keanggotaan terdiri daripada 140 anggota bomba termasuk sembilan anggota dari Perak dan 13 Kedah dengan turut dibantu 20 anggota polis marin dan trafik.

Sementara itu, bapa mangsa, Illias Othman, 77, meluahkan rasa syukur kerana penantian mereka sekeluarga akhirnya bernoktah dengan mayat anak ketiga daripada enam beradik itu.

“Pak cik nak ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang bertungkus-lumus menjayakan operasi ini hingga mayat Mohd Izwan ditemukan.

“Walaupun sedih tapi pakcik syukur dan reda dengan kehilangan ini,” katanya.

BACA: Bomba Hilang: Suami Kata Hari Gaji Nak Bawa Anak Beli Baju Sekolah – Isteri

Sumber: Bernama

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma