Siakap Keli
wariskan syarikat 700 pekerja
Kredit: Bob's Red Mill

Jutawan Wariskan Syarikat Kepada 700 Pekerja Sebelum Meninggal Dunia

Jutawan Wariskan Syarikat Kepada 700 Pekerja Sebelum Meninggal Dunia

Pengasas syarikat Bob’s Red Mill, Bob Moore telah mewariskan syarikat kepunyaannya kepada 700 pekerja sebelum meninggal dunia.

Difahamkan, beliau telah menghembuskan nafas terakhir ketika berusia 94 tahun pada 10 Februari 2024, seminggu yang lalu.

Syarikatnya dikenali sebagai pengeluar produk berasaskan bijirin terkemuka di Amerika Syarikat dan diasaskan pada 1978.

Selain produk keluarannya, syarikat yang diasaskan Moore itu turut dikenali dengan layanan baiknya terhadap para pekerja.

Sebelum pemergiannya, Moore telah membangunkan satu struktur pemilikan unik bagi syarikat makanan berasaskan bahan semula jadi itu.

Kebiasaannya, pemilik syarikat akan menjual syarikat miliknya kepada konglomerat atau mewariskan kepada ahli keluarganya sebelum meninggal dunia.

Akan tetapi, Moore telah memberikan hak pemilikan penuh syarikatnya kepada 700 pekerja, berdasarkan laporan yang dikeluarkan Fortune.

Sebelum itu, beliau telah memulakan rancangan untuk menyerahkan hak pemilikan syarikat Bob’s Red Mill pada 2010.

Menurut laporan NDTV, Moore telah melancarkan pelan pemilikan saham syarikatnya kepada 209 pekerjanya ketika sambutan hari lahirnya ke-81 tahun.

Syarikat itu kemudiannya telah berkembang sehingga memiliki 700 pekerja pada April 2020 dan menjadi kepunyaan pekerjanya secara sepenuhnya sebelum beliau meninggal dunia.

Tindakan jutawan untuk wariskan syarikat kepada 700 pekerja adalah untuk mengutamakan kebajikan pekerjanya

Moore sebelum ini memberitahu, beliau telah memilih untuk tidak bertindak seperti yang dilakukan dalam model perniagaan konvensional, yang mana pemilik dan pengurusan syarikat akan mengutamakan keuntungan berbanding para pekerjanya.

“Saya belajar hampir 70 tahun yang lalu mengenai betapa pentingnya kerja keras dan kebaikan untuk berjaya.

“Sepanjang perniagaan kecil kami berkembang saya sedar bahawa saya memiliki peluang yang besar untuk menjadi seorang yang pemurah,” kata Moore.

Ahli perniagaan itu juga berkata pada 2018 bahawa Bob’s Red Mill merupakan salah satu impiannya yang telah menjadi kenyataan.

Dalam beberapa sesi temu bual, beliau meluahkan rasa sayang terhadap syarikat tersebut. Beliau sesekali tidak akan menjualnya kepada pihak lain walaupun sudah menerima pelbagai tawaran.

“Mereka menyangka bahawa saya merupakan seorang yang bodoh kerana tidak mahu menjual syarikat saya.

“Tetapi mereka tidak boleh membina apa yang telah saya bina selama ini,” tambahnya lagi.

Dalam pada itu, Moore telah menjadi sebahagian daripada ahli lembaga syarikatnya sehingga nafas terakhir, walaupun telah mengumumkan persaraannya pada 2018.

Untuk makluman, jutawan berkenaan telah menubuhkan syarikat tersebut ketika berusia 49 tahun. Sebelum mengusahakan Bob’s Red Mill, Moore merupakan pemilik stesen minyak dan pengurus stor di J.C. Penney.

Beliau memilih untuk bersara awal kerana ingin memulakan perniagaannya sendiri dan mendedikasikan dirinya untuk mempelajari kitab Bible.

Berdasarkan laporan Forbes, hasil pendapatan syarikat miliknya dianggarkan berjumlah sekitar $100 juta (RM477.65 juta) pada tahun 2018. Bob’s Red Mill telah menjual lebih dari 200 produk di lebih 70 buah negara di seluruh dunia.

BACA: Elak Letak Dalam Beras, Apple Kongsi Cara Betul Keringkan iPhone Masuk Air

Sumber: NDTV

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma