Dipanah Petir, Dua Mahasiswa Maut Ketika Berkhemah
Dua mahasiswa dari Universiti Padjadjaran (Unpad) Bandung dilaporkan maut akibat disambar petir ketika sedang berkhemah di kawasan Batu Kuda yang terletak di Bandung, Indonesia.
Memetik laporan dari Detik Jabar, kejadian tersebut telah berlaku pada Jumaat, 23 Februari lalu dan melibatkan tiga orang mangsa.
Daripada jumlah tiga orang mangsa yang disambar petir, dua orang daripadanya dilaporkan telah meninggal dunia.
Dua orang mangsa yang meninggal dunia merupakan mahasiswa Fakulti Kejuruteraan Geologi, masing-masing merupakan pelajar ambilan 2021 dan 2022.
Mangsa yang didapati maut adalah Mitzelion Rayi Adimastya Putra yang dikenali sebagai Mitzel (20) dan Bangkit Alyuda Prasetyo (Bangkit). Manakala, lagi seorang mangsa yang bernama Adinda dilaporkan terselamat selepas insiden terbabit.
Timbalan Dekan Sumber dan Organisasi Fakulti Geologi Unpad, Dr. Cipta Endyana mengatakan dua mangsa yang meninggal dunia telah berkhemah bersama rakan-rakannya.
Pada hari kejadian terbabit, cuaca dilaporkan tidak begitu cerah dan pada masa yang sama tidak begitu mendung.
Jelas Cipta, berdasarkan keterangan rakan mangsa, mereka telah bertolak sekitar 4.30 petang dan tiba di lokasi sekitar 5.00 petang.
BACA: Bolehkah Bakteria Dalam Badan Pengaruhi Mood Seseorang? Ini Apa Yang Anda Perlu Tahu
“Sebaik sahaja sampai di sana, mereka telah berehat buat seketika sehingga pukul 6.00 petang. Ketika perjalanan menuju tapak perkhemahan, cuaca tidak begitu cerah dan juga tidak begitu mendung,
“Sebaik sahaja sampai ke tapak perkhemahan, mereka terus mendirikan khemah, menyalakan api untuk memanaskan badan serta memasak makanan,” kata Cipta menerusi satu kenyataan bertulis.
Langit tiba-tiba menjadi terang benderangan
Kemudian, beliau memaklumkan hujan telah turun di kawasan tapak perkhemahan. Disebabkan bimbang atas keselamatan masing-masing, Mitzel dan beberapa orang rakannya telah mengambil keputusan untuk bergerak ke tapak perkhemahan yang berada di bawah.
Ketika mereka mula mengambil barangan masing-masing, tiba-tiba langit di kawasan tersebut menjadi terang.
Terdapat petir yang menyambar di kawasan perkhemahan sehingga unggun api yang dihidupkan sebentar tadi turut terpadam.
“Mitzel dan Bangkit sudah terbaring, manakala Adinda juga tiba-tiba menjerit kerana katanya kakinya kena sambar oleh petir.
“Rakan- rakannya yang terselamat telah segera ke bawah untuk mendapatkan pertolongan.
“Setelah sampai ke basecamp, pihak basecamp telah membawa pengusung untuk membawa mangsa. Pada masa yang sama, ada pasukan yang berusaha untuk melakukan Cardiopulmonary Resuscitation (CPR) sebagai pertolongan cemas,” jelas Cipta.
BACA: Kenali BYD, Pengeluar EV Yang Semakin Tunjuk Taring
Sumber: CNN Indonesia