Siakap Keli
KPM Menjunjung Kasih Titah Diraja
Kredit: Bernama

KPM Menjunjung Kasih Titah Diraja KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong XVII

KPM Menjunjung Kasih Titah Diraja KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong XVII

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merafak sembah menjunjung  kasih atas Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka  Baginda Yang di-Pertuan Agong XVII Sultan Ibrahim Ibni Almarhum  Sultan Iskandar sempena pembukaan penggal ketiga, Parlimen Kelima  Belas pada 26 Februari 2024 yang turut menyentuh beberapa perkara  yang melibatkan bidang pendidikan.  

KPM sentiasa proaktif dalam memastikan Bahasa Kebangsaan  dimartabatkan menerusi aktiviti dalam dan luar bilik darjah. Melalui  bahasa ini, semangat perpaduan dapat dipupuk dalam kalangan murid  sejak daripada peringkat prasekolah hingga ke peringkat menengah.  

KPM juga memanfaatkan teknologi dan digital secara berterusan bagi  meningkatkan kualiti pendidikan negara. Dasar Pendidikan Digital  (DPD) dirangka bertujuan melahirkan generasi fasih digital yang  berdaya saing dan berupaya mengguna pakai teknologi untuk  pembelajaran serta memanfaatkan inovasi digital di sekolah atau di  mana sahaja. 

Selaras dengan perjanjian Malaysia 1963, KPM komited dalam  meneruskan rundingan dengan kerajaan negeri Sabah dan Sarawak  dalam memastikan pendidikan di kedua-dua negeri tersebut dapat  terus ditingkatkan untuk manfaat semua warga pendidikan. 

Bagi melahirkan murid yang berkemahiran tinggi dan dapat memenuhi  keperluan industri dan negara, KPM akan terus memperkasa bidang  STEM dan TVET, malah KPM juga telah menyediakan Kerangka  Kurikulum Persekolahan 2027 yang selari dengan hasrat tersebut.

Seiring dengan usaha merancakkan pertumbuhan ekonomi dan  seterusnya membantu dalam mengurangkan bebanan ibu bapa,  pelbagai bentuk bantuan persekolahan telah disediakan kepada murid  oleh KPM termasuklah Bantuan Awal Persekolahan (BAP), Rancangan  Makanan Tambahan (RMT) dan Bantuan Kumpulan Wang Amanah  Pelajar Miskin (KWAPM). 

Dalam usaha meningkatkan kecekapan dan prinsip kerja berintegriti,  pendidikan karakter dan manusiawi turut diberikan perhatian di  samping penekanan kepada aspek karamah insaniah bagi memastikan  generasi akan datang mempunyai akhlak, berintegriti dan mempunyai  jati diri yang kukuh bagi memenuhi aspirasi nasional. 

Menyedari kepentingan pendidikan bagi setiap warganegara tanpa  mengira taraf ekonomi, etnik atau latar belakang, KPM telah  melaksanakan langkah awal dalam menyelaras pendidikan prasekolah  di Malaysia agar isu keciciran ditangani dari peringkat awal  

KPM akan terus berusaha untuk memastikan saranan KDYMM Seri  Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dilaksanakan demi  penambahbaikan pendidikan negara dan kesejahteraan rakyat  Malaysia.  

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa