Siakap Keli
Kredit: Bernama

Pembangunan Taman Awam Kuala Kerteh Penuhi Keperluan Kawasan Persekitaran Berkualiti Untuk Berekreasi

KEMAMAN, 28 Februari 2024 Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB  Tuan Nga Kor Ming (YB KM) telah merasmikan Projek Pembangunan Taman Awam  Kuala Kerteh, Kemaman pada pagi ini. Beliau turut menyempurnakan acara  penanaman pokok Melaleuca linariifolia sebagai simbolik perasmian pembangunan  projek ini dan juga menyokong usaha menjayakan agenda penghijauan Malaysia  dengan menanam 100 juta pokok di seluruh negara.  

Taman Awam Kuala Kerteh terletak dua (2) kilometer dari Bandar Baru Kerteh iaitu di  lokasi strategik pertemuan Muara Sungai Kerteh dan Pantai Kuala Kerteh.  Pembangunan taman awam ini melibatkan peruntukan RM15.3 juta dengan tempoh  pelaksanaan selama 99 minggu dan telah siap pada 27 Oktober 2023Berkeluasan 22.168 ekar, taman ini boleh menampung keperluan riadah bagi 20,000  orang pengunjung khususnya masyarakat setempat.  

Berkonsepkan Eksplorasi Visual, Taman Awam Kerteh dibangunkan sebagai pusat  aktiviti eksplorasi keindahan pemandangan semula jadi dan keunikan budaya  masyarakat setempat. Rekaannya mengambil kira elemen kualiti visual pemandangan  sekitar dalam pembentukan ruang landskap. Komponen pembangunan taman awam  ini terdiri daripada dewan terbuka, menara pandang, main entrance statement 1, main  entrance statement 2, plaza, alatan permainan kanak-kanak, kawasan parkir  kenderaan awam, tandas, laluan pejalan kaki dan jambatan, serta ruang-ruang hijau  terbuka untuk kemudahan orang ramai berkelah. 

Program Pembangunan Taman Awam merupakan satu inisiatif Kementerian  Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Jabatan Landskap Negara (JLN) untuk menyediakan ruang rekreasi kepada masyarakat awam di setiap bandar. Sehingga Disember 2023, KPKT melalui JLN telah membangunkan sejumlah 60  buah Taman Awam di seluruh negara. Pembangunan Taman Awam Kuala Kerteh  ini merupakan taman awam yang keempat dibina di Negeri Terengganu, selepas  Taman Awam Batu Burok, Taman Awam Lagun Kuala Ibai di Kuala Terengganu dan  Taman Awam Teluk Gadung di Dungun. 

Pada ketika ini, KPKT menerusi JLN sedang membangunkan Projek Landskap  Perbandaran Dungun yang bernilai RM30 juta dan juga Projek Pemuliharaan Kunang – Kunang Sungai Yak Yah, Kemaman dengan jumlah peruntukan sebanyak RM5.31 juta. Secara keseluruhannya, jumlah peruntukan yang disalurkan KPKT menerusi JLN untuk pelaksanaan projek landskap dalam Rancangan Malaysia  ke-12 (RMKe-12) di Negeri Terengganu sahaja berjumlah RM 56.81 juta.  

Taman Awam Kuala Kerteh
Kredit: Bernama

YB KM berkata, “Komitmen pembangunan landskap yang dilaksanakan oleh KPKT  menerusi JLN ini merupakan cerminan kepada usaha-usaha berterusan Kerajaan  untuk mewujudkan kawasan persekitaran kehidupan yang kondusif untuk masyarakat  awam. Persepsi tentang landskap yang hanya bersifat estetik semata-mata di  kalangan masyarakat perlu diubah kerana landskap dilihat sebagai satu keperluan  pada masa kini.”  

Tambah beliau, “KPKT sentiasa fokus kepada usaha memperkasakan daya huni  bandar (liveability) yang menjadi satu instrumen penting dalam menentukan  keselesaan persekitaran kehidupan. Peningkatan jumlah penduduk yang semakin  tinggi terutamanya di kawasan perbandaran telah meningkatkan keperluan ruang  hijau sebagai medium interaksi sosial, terapi serta ketenangan (theraphy and healing)  dan untuk tujuan rekreasi. Justeru, pembinaan Taman Awam Kuala Kerteh ini diharap  dapat dimanfaatkan dan meningkatkan kesedaran kepada masyarakat tentang  tanggungjawab dalam menjaga persekitaran alam semulajadi dan kemudahan awam  yang disediakan oleh Kerajaan.” 

Majlis turut dihadiri oleh ADUN Air Putih, YB Haji Mohd Hafiz bin Adam; Ketua  Setiausaha KPKT, YBhg. Datuk Wira M Noor Azman Bin Taib; Ketua Pengarah  Jabatan Landskap Negara, Encik Mansor bin Mohamad; Yang DiPertua Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), Encik Fadli Yusof bin Zakaria serta pegawai-pegawai  kanan Kerajaan Persekutuan dan Negeri. 

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa