Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Tiada Keperluan PRU16 Dalam Masa Terdekat, Kerajaan Fokus Tadbir Negara - PM Anwar
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa Kerajaan MADANI tidak melihat keperluan untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dalam masa terdekat sebaliknya memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha mentadbir negara ketika ini, lapor AWANI.
Tambah beliau, fokus kerajaan kini adalah memastikan pelaksanaan dasar serta tanggungjawab pentadbiran berjalan dengan baik.
Mengulas mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Isnin lalu, Anwar berpendapat bahawa perkara itu merupakan keputusan dan pertimbangan pihak berkenaan.
"Ia keputusan mereka (Barisan Nasional Johor). Kami ada keutamaan kami dan fokus kepada tugas kami,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Peluncuran Persidangan Peralihan Tenaga di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB), Tan Sri Abdul Razak Abdul Majid.
Terdahulu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan pembubaran DUN negeri itu. Ia selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.
Jelas Datuk Onn Hafiz, pengumuman itu bertujuan bagi memberi laluan kepada proses demokrasi melalui Pilihan Raya Negeri (PRN), yang tarikh penamaan calon dan pengundian akan ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Dalam pada itu, pada 17 Mei lalu, Anwar membayangkan kemungkinan pembubaran Parlimen lebih awal bagi memberi laluan kepada PRU16 sekiranya berlaku gangguan terhadap kestabilan politik dalam kalangan rakan kerjasama Kerajaan Perpaduan.
Ahli Parlimen Tambun itu berkata ia susulan keputusan UMNO dan Barisan Nasional untuk bertanding di semua kerusi di Johor.