Siakap Keli

Treler Terbalik Di Lebuhraya PLUS Arah Selatan, Trafik Sesak 21km

Sebuah treler dilapor terlibat dalam kemalangan hingga menyebabkan laluan terhalang di KM292.1 Lebuhraya PLUS (Arah Selatan) berdekatan Simpang Pulai ke Gopeng, kira-kira 9 pagi tadi.

Menurut Sinar Harian, kemalangan melibatkan treler membawa muatan tepung itu menyebabkan laluan di arah berkenaan sesak teruk.

Berdasarkan hantaran PLUS Line di platform X, kesesakan sejauh 21km dan 11km berlaku di laluan arah selatan berkenaan.

Setakat 12.48 tengah hari tadi, semua laluan arah selatan ditutup sementara untuk kerja-kerja pengalihan kemalangan yang menyebabkan trafik terhenti.

PLUS Line turut menyarankan pengguna untuk mengguna laluan alternatif. Setakat ini, PLUS Line tidak memaklumkan bila kerja-kerja pengalihan akan selesai dan laluan dibuka semula.

Dalam pada itu, Sinar Harian melaporkan kemalangan berpunca selepas treler dipandu lelaki berusia 40 tahun hilang kawalan sebelum merempuh pembahagi jalan. Insiden itu menyebabkan lorong kanan kedua-dua arah terhalang.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, pemandu treler tersebut mengalami kecederaan pada bahagian dada dan kaki akibat tersepit.

Pihak bomba melaksanakan operasi mengeluarkan mangsa menggunakan power unit dan rescue tool sehingga mangsa berjaya dikeluarkan daripada treler berkenaan.

Operasi tersebut yang melibatkan anggota bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai & Gopeng itu tamat pada 11.08 pagi.

Sumber: PLUS Line, Sinar Harian 

 

Athirah

When nothing goes right, go left.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.