Siakap Keli
wanita dipenjara bunuh rakan
Kredit: BERNAMA

Mengaku Bunuh Rakan, Wanita Dipenjara 30 Tahun

Mengaku Bunuh Rakan, Wanita Dipenjara 30 Tahun

KUALA TERENGGANU, 5 Mac (Bernama) — Bekas pelajar tingkatan enam dijatuhi hukuman penjara 30 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas pertuduhan  membunuh rakannya, empat tahun lepas.

Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani memutuskan demikian selepas tertuduh, 23, mengaku bersalah membunuh Siti Nur Suraya Ismail, 19.

Mahkamah mengarahkan hukuman penjara bermula daripada tarikh tangkap iaitu 2 Nov 2020.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Siti Nur Surya di rumah mangsa di Kampung Lubuk Batu, Jalan Bukit Tadok, Telemong, Hulu Terengganu antara jam 8.30 pagi hingga 9.30 pagi pada 1 Nov 2020.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun dan hukuman tidak kurang 12 sebatan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Mahkamah bagaimanapun hanya mengenakan hukuman pemenjaraan terhadap tertuduh ekoran pindaan terkini mengikut Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amer Abu Bakar Abdullah dan Mohd Khairuddin Idris manakala tertuduh diwakili peguam Azura Ghazali.

Media sebelum ini melaporkan mangsa ditemui mati dipercayai dibunuh dengan beberapa kesan tikaman di bahagian badan termasuk putus pergelangan tangan kiri.

Dalam kejadian itu, mangsa ditemui mati berlumuran darah  di ruang tamu rumah berkenaan oleh adik bongsunya yang baru pulang dari sekolah.

Sumber: BERNAMA

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana