PM Anwar Pantas Respons Aduan Rakyat Di Threads, Netizen Indonesia Mengaku “Jealous”
Tindakan pantas seseorang pemimpin dalam memberikan respons terhadap aduan rakyat pastinya menjadi perhatian.
Lebih-lebih lagi apabila ia dilakukan secara terbuka menerusi platform media sosial.
Terbaru, tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilihat pantas memberikan respons terhadap aduan seorang pengguna Threads mencuri tumpuan ramai termasuk netizen dari Indonesia.
Respons Pantas PM Anwar
Menerusi hantaran @siti.anishaj, wanita itu meluahkan keluhan mengenai keadaan tren yang sering sesak dengan penumpang, selain meminta agar jumlah gerabak ditambah.
“Assalamualaikum @anwaribrahim_my. Boleh tak tambah lagi gerabak tren? Hampir setiap hari keadaan sesak macam ni. Nak memandu, jalan raya sesak. Bila naik tren pula, penuh dengan penumpang,” ujarnya.
Wanita berkenaan turut berkongsi gambar yang memperlihatkan keadaan sebuah stesen yang dipenuhi orang ramai.
Susulan itu, Anwar tampil memberikan respons dengan meminta pihak Rapid KL dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke supaya mengambil perhatian terhadap masalah yang dibangkitkan.
“Wassalam. Saya mohon @myrapidkl dan @ministryoftransportmy @lokesiewfook ambil perhatian pada permasalahan ini dan cari penyelesaian segera.
“Kerap kali terjadi dan ia pastinya merencatkan rutin harian rakyat terbanyak. Kita mesti lebih peka dan bertindak,” kata Anwar.
Respons Perdana Menteri itu ternyata mendapat perhatian pengguna media sosial, termasuk beberapa netizen dari Indonesia yang meluahkan rasa kagum melihat aduan rakyat mendapat perhatian secara langsung daripada pemimpin negara.
Malah, ada juga yang secara berseloroh mengakui berasa 'cemburu' melihat kepantasan Anwar dalam mengambil perhatian terhadap keluhan rakyat.
“Jealous lah saya, disayang betul sama PM-nya,” kata @prasidyapuspa.

“Keren banget Pak Anwar langsung notice dan balas di threads,” puji @m.shahdanov.

“Seronok betul jadi rakyat Malaysia. Buat aduan je, terus dapat respons daripada Perdana Menteri,” kata @edmstoreindo.

Kadangkala, sesuatu yang dianggap biasa oleh kita sebenarnya membawa makna yang cukup besar buat orang lain.
Begitu juga dengan tindakan seorang pemimpin yang mendengar keluhan rakyat, biarpun terlihat kecil, namun cukup untuk meninggalkan kesan kepada mereka yang memerhati.
