Siakap Keli
kabel bawah laut
Kredit: AFP

Ini Yang Anda Perlu Tahu Mengenai Kabel Bawah Laut

Ini Yang Anda Perlu Tahu Mengenai Kabel Bawah Laut

Ramai yang mula menyedari kewujudan kabel gentian optik yang diletakkan di dasar laut. Malah, sebenarnya kabel ini memiliki sistem rangkaian yang luas di dalam lautan di seluruh benua.

Rangkaian ini telah menghubungkan setiap benua di atas muka bumi ini, selain daripada benua Antartika. Mungkin ramai yang menyangka bahawa sistem penyimpanan awan atau ‘cloud storage‘ betul-betul berada di awangan, seperti awan sebenar di langit.

Hakikatnya, sistem ini dan segala aktiviti berkaitan dengan penghantaran data di seluruh dunia bergantung pada sistem rangkaian yang terletak di bawah lautan ini.

Dengan sistem ini, kita dapat berhubung dengan klien menerusi emel dan menghantar foto dan video ke seluruh dunia, tanpa sempadan.

Menurut peta maritim yang dikeluarkan oleh TeleGeography, berikut merupakan rangkaian kabel berkenaan yang terletak di dasar lautan.

kabel bawah laut
Kredit: TeleGeography

Bagaimana manusia boleh terfikir nak letak kabel-kabel ini di dasar lautan?

Bagi golongan yang menikmati kemudahan internet pada hari ini, anda perlu berterima kasih terhadap salah satu sistem komunikasi moden tertua di dunia iaitu, telegraf.

Sistem kabel di dasar lautan pada zaman moden ini telah bermula daripada rangkaian telegraf, iaitu sistem komunikasi pertama merentasi Lautan Atlantik.

Kabel bagi sistem komunikasi ini telah disiapkan secara sepenuhnya ketika musim panas pada tahun 1858. Ketika itu, kabel bagi sistem telegraf ini telah diletakkan di dalam lautan yang menghubungkan Ireland di benua Eropah dan Newfoundland, Kanada yang terletak di benua Amerika Utara.

Mesej rasmi dihantar melalui sistem ini adalah mesej daripada Ratu Victoria kepada Presiden James Buchanan dan hasilnya sangat menakjubkan.

Mesej yang mengandungi 509 abjad itu hanya mengambil masa 17 jam dan 40 minit untuk merentasi Lautan Atlantik. Tempoh ini boleh dikatakan sangat laju jika dibandingkan dengan kaedah-kaedah penyampaian maklumat lain yang wujud pada masa itu.

Kabel berkenaan telah mengambil masa empat tahun untuk disiapkan dan hanya bertahan dalam masa kurang dari sebulan. Selepas itu, rangkaian tersebut mengambil masa enam bulan lagi untuk disiapkan agar maklumat dapat disampaikan merentasi lautan tersebut.

telegraf kabel bawah laut
Kredit: AFP

Sungguhpun pada awalnya masih terdapat kekurangan, sistem rangkaian telegraf telah membuktikan bahawa konsep penghantaran maklumat menerusi kabel bawah laut merupakan satu perkara yang tidak mustahil dan menjadi asas fasiliti internet yang dinikmati pada hari ini.

Tahun berganti tahun, kabel telefon turut diletakkan di dasar lautan sehingga hari ini. Ia disusuli kabel gentian optik yang menjadi nadi perhubungan internet.

Berapa luas rangkaian ini?

TeleGeography telah menyenaraikan kira-kira 574 kabel aktif yang menjadi sebahagian daripada rangkaian ini, setakat awal Januari 2024.

Manakala, panjang keseluruhan kabel yang terletak di dasar lautan pula melebihi 1.4 juta kilometer di seluruh dunia dan masih aktif dalam perkhidmatan, lapor TeleGeography.

Kabel bawah laut ini menggunakan teknologi gentian optik. Banyak data akan dihantar melalui gentian ini dalam masa sekelip mata sahaja.

Dalam pada itu, gentian ini akan dibalut dengan beberapa lapisan plastik atau wayar keluli untuk melindunginya.

Bagi kebanyakan kawasan di dalam lautan, kabel ini biasanya memiliki kelebaran seperti hos air yang digunakan untuk menyiram tumbuh-tumbuhan di taman.

Berbeza dengan kabel yang diletakkan di kawasan persisiran, kabel ini akan menggunakan lebih banyak lapisan untuk mendapatkan perlindungan dengan lebih baik.

Sungguhpun begitu, tiada kabel khusus yang menghubungkan antara benua Amerika Selatan dengan Australia.

Hal ini kerana, Eropah, Asia dan Amerika Latin memiliki banyak data yang dihantar dan diterima dari Amerika Utara.

Berbeza pula dengan Australia dan Amerika Selatan yang tidak memerlukan banyak data untuk dihantar dan diterima dalam satu masa.

Gambar: AFP

Bagaimana kabel ini diletakkan di bawah lautan?

Kabel-kabel ini biasanya disambungkan pada stesen yang dipanggil sebagai stesen pendaratan yang terletak di sepanjang dasar lautan.

Kapal-kapal pemasangan kabel yang akan melakukan pelayaran untuk meletakkan kabel-kabel fiber di sepanjang dasar lautan. Kapal ini akan membuat lubang di dasar laut untuk menimbus kabel.

Secara semulajadinya, laluan kabel ini dirancang untuk melalui kawasan dasar lautan yang memiliki permukaan rata.

Pihak yang bertanggungjawab untuk meletakkan kabel pada dasar lautan turut mengelakkan beberapa kawasan seperti kawasan terumbu karang, bangkai kapal serta permukaan bentuk bumi ekstrem.

Menurut lembaran sejarah, kabel-kabel bawah laut ini dahulunya dibayar oleh konsortium telekom. Akan tetapi, syarikat-syarikat berkaitan teknologi seperti Google dan Microsoft telah mula membayar kos di sebalik infrastruktur ini sejak kebelakangan ini.

Kabel ini pernah putus tak?

Untuk pengetahuan, kerosakan kabel adalah perkara yang biasa. Secara purata, terdapat lebih daripada 100 setiap tahun yang putus.

Kerosakan kabel ini jarang didengari kerana kebanyakan syarikat dipercayai menggunakan kabel mengikut pendekatan “Safety in numbers”. Hal ini bermaksud jika satu kabel terputus, masih terdapat beberapa lagi kabel lain yang boleh digunakan dengan lancar sementara kabel yang rosak itu sedang dibaiki.

Difahamkan, kemalangan melibatkan kapal nelayan dan kapal sauh menyumbang dua pertiga daripada semua kerosakan kabel.

Tidak kurang juga, gempa bumi turut menyumbang kepada kerosakan itu. Manakala, sabotaj dan gigitan jerung amat jarang berlaku.

kabel bawah laut
Kredit: AFP

BACA: Kabel Bawah Laut ‘Dipotong’, Sebabkan Gangguan Internet Di Eropah & Asia

Sumber: Telegeography, Independent

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma