Siakap Keli
kabel bawah laut dipotong
Kapal tentera mengawasi Laut Merah | Gambar: AFP

Kabel Bawah Laut ‘Dipotong’, Sebabkan Gangguan Internet Di Eropah & Asia

Kabel Bawah Laut ‘Dipotong’, Sebabkan Gangguan Internet Di Eropah & Asia

Beberapa kabel komunikasi bawah laut di Laut Merah telah ‘dipotong’, menyebabkan gangguan kepada aliran trafik data antara Asia dan Eropah.

Menurut BBC, HGB Global Communications pada Isnin berkata, sebanyak empat daripada 15 kabel bawah laut di kawasan berkenaan mengalami kerosakan.

Empat daripada 15 kabel bawah laut di Laut Merah ‘dipotong’

Kata HGC, syarikat yang berpangkalan di Hong-Kong itu, empat kabel yang terjejas adalah Seacom, TGN-Gulf, Asia-Africa-Europe 1 dan Europe India Gateway.

Ekoran itu, sebanyak 25 peratus aliran data terganggu akibat kejadian berkenaan. Difahamkan, kira-kira 80 peratus aliran trafik data yang menghubungkan barat dengan Asia melalui kabel tersebut.

Menurut HGC lagi, pihaknya mengambil langkah segera dengan mengalihkan aliran data ke Eropah yang terjejas melalui kabel di China dan kabel bawah laut di Laut Pasifik untuk ke Amerika Syarikat.

Punca dan pihak bertanggungjawab masih belum diketahui

Setakat ini, punca kejadian kabel berkenaan ‘dipotong’ atau pihak yang bertanggungjawab tidak dinyatakan.

Seorang pegawai tinggi pentadbiran Kerajaan Amerika Syarikat memaklumkan pihaknya sedang mengenal pasti sama ada kabel berkenaan sengaja dipotong pihak tertentu atau terkena sauh kapal.

Bulan lepas, kerajaan Yaman yang diiktiraf antarabangsa mendakwa kumpulan Huthi mungkin akan melakukan sabotaj terhadap kabel bawah laut di kawasan Laut Merah.

Bagaimanapun, Huthi yang mengawal majoriti kawasan di pantai Laut Merah di barat Yemen, menafikan dakwaan tersebut.

BACA: Facebook, Instagram Alami Gangguan Teknikal

Sumber: BBC

Athirah

When nothing goes right, go left.