Siakap Keli
Harga Bitcoin Melepasi
Kredit: AFP

Rekod Tertinggi & Baharu, Harga 1 Bitcoin Cecah RM328,000

Rekod Tertinggi & Baharu, Harga 1 Bitcoin Cecah RM327,000

Bitcoin berjaya didagangkan pada rekod baharu, mencecah USD69,200 (RM328,181) pada Selasa, tertinggi dalam sejarah, sebelum harganya jatuh semula, lapor Financial Times.

Harga matawang kripto terbesar dunia itu mula melonjak naik selepas pengawal selia Amerika Syarikat (AS) meluluskan Exchange-trade Funds (ETS) pada Januari.

Pelancaran ETS itu turut disokong oleh Fidelity dan BlackRock, antara entiti pengurus dana terkemuka di Wall Street.

Menurut Financial Times , ETF membolehkan para pelabur mendapat pendedahan langsung kepada matawang kripto tanpa risiko, yang sebahagian besarnya berkait dengan bursa kripto yang tidak dikawal.

Dalam laporan yang diterbitkan CoinShares baru-baru ini menyatakan lebih USD7.5 bilion (RM355.69 bilion) modal mengalir masuk ke ETS sejak hari pertama didagangkan bermula 11 Januari lepas.

Kemunculan gelombang baharu modal itu menyaksikan nilai Bitcoin melonjak hampir 60 peratus sejak awal tahun lalu.

Situasi itu kemudian mendorong nilai matawang kripto utama itu melepasi rekod tertinggi yang dicatatkan sebelum ini, pada November 2021.

Harga Bitcoin catat rekod tertinggi & baharu, sebelum jatuh semula

Walau bagaimanapun, Bitcoin telah jatuh lebih daripada 8 peratus kepada kira-kira $62,000 (RM 293,725) dalam beberapa jam selepas mencapai kejayaan tersebut.

Pemerhati melihat, pencapaian terkini Bitcoin itu mungkin menjadi petanda baik untuk matawang kripto berkenaan, yang pernah jatuh sehingga USD16,000 (RM75,844) pada 2022.

Kemerosotan itu antara lain berpunca daripada krisis dalam pasaran dan gagal memulih akibat beberapa faktor. Antaranya terjejas akibat kejatuhan syarikat kripto berprofil tinggi, FTX.

Dalam pada itu, pengasas pelaburan aset digital Melanion Capital, Jad Comair berkata, pencapaian yang direkodkan ETS setakat ini terbukti berjaya melepasi keterujaan dan jangkaan dalam komuniti pelabur.

Ujar Comair lagi, rekod dicatatkan Bitcoin bukan sekadar lonjakan yang spektakular, sebaliknya menjadi anjakan paradigma untuk mata wang berkenaan.

Misalnya, para pelabur yang memiliki Bitcoin pada hari ini menjadi 5 hingga 10 kali ganda lebih yakin berbanding beberapa tahun yang lalu.

Peningkatan Bitcoin berlaku ditengah-tengah lonjakan pasaran kewangan tradisional yang lain

Sementara itu, peningkatan nilai Bitcoin ini juga berlaku ditengah-tengah peningkatan nilai saham pasaran kewangan tradisional yang lain.

Misalnya pada 22 Februari lepas, nilai pasaran saham gergasi pembuat cip dunia, Nvidia dilapor meningkat sebanyak RM1.3 trilion dalam tempoh sehari, yang didorong keyakinan pelabur dalam teknologi kecerdasan buatan.

Angka berkenaan menjadi peningkatan satu hari terbesar dalam sejarah bursa saham Wall Street. Lonjakan itu juga sekaligus menjadikan modal pasaran semasa Nvidia naik kepada $1.96 trilion (RM9.07 trilion).

BACA: Harga 1 Bitcoin Cecah RM303,000, Pertama Kali Sejak Mei 2021

Sumber: Financial Times

Athirah

When nothing goes right, go left.