Siakap Keli

Tujuh Negara Setuju Jalin Kerjasama Lebarkan Program Pengantarabangsaan Pendidikan Tinggi

Kuala Lumpur, 6 Mac – Menteri Pendidikan Tinggi, Dr Zambry Abd Kadir telah menghadiri Antalya Diplomacy Forum (ADF) 2024 di Antalya, Turkiye bagi mewakili Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.

Dalam program yang dihadiri lebih 4,000 delegasi dari 100 buah negara ini, Malaysia diberi penghormatan untuk menjadi panelis bagi sesi yang bertajuk ‘Building Asia – Pacific Regional Architectures: The Challenge of Unmatching Interest’.

“Dalam sesi ini, saya telah menyampaikan pandangan Malaysia dan YAB Perdana Menteri berkenaan isu Asia Pasifik yang semakin menjadi perhatian kuasa-kuasa besar dunia,” ujar Dr Zambry.

“Saya menegaskan bahawa Malaysia mahukan sebuah rantau yang bebas daripada sebarang kongkongan mana-mana pihak serta mengambil pendirian untuk bekerjasama dengan semua pihak demi tujuan menjaga kestabilan rantau,” kata beliau.

Sepanjang pertemuan tersebut, beliau sempat mengadakan lapan mesyuarat dua hala bersama kenalan Menteri Luar termasuk Timbalan Perdana Menteri II Kosovo merangkap Menteri Luar; Menteri Luar Uzbekistan; Timbalan Perdana Menteri Iraq merangkap Menteri Luar; Menteri Luar Kyrgyzstan; Menteri Luar Sri Lanka; Presiden Majlis Tertinggi Negara Libya; Presiden Turkish Maarif Foundation dan Menteri Luar Turkiye.

Hasil perbincangan berkenaan, negara-negara terlibat telah bersetuju bagi melebarkan program pengantarabangsaan pendidikan tinggi negara dari segi pertukaran pelajar, pensyarah, penyelidikan dan juga bidang-bidang tumpuan yang boleh dipelopori bersama.

dr zambry turkiye

dr zambry turkiye

“Negara seperti Iraq dan Libya juga sedia untuk menawarkan biasiswa lebih besar untuk pelajar-pelajar mereka datang ke Malaysia,” tambah beliau.

Beliau juga berkesempatan menyaksikan majlis tandatangan dan pertukaran persefahaman (MoU) di antara Universiti Utara Malaysia dengan lima buah universiti di Turkiye iaitu Karabuk University, Ankara Yıldırım Beyazıt University, Dicle University, Gebze Technical University dan Mardin Artuklu University.

“Usahasama ini sangat baik terutamanya dalam kita membina rangkaian pendidikan dengan institusi antarabangsa dan pada masa sama proses perkongsian dan pemindahan ilmu serta kemahiran dapat berlangsung melalui pelbagai medium,” katanya.

Amira

Love yourself.